Selangor cuti Isnin jika menang PRN esok

Amirudin menggesa pengundi Selangor supaya mengundi calon PH dan BN demi kestabilan dan kemakmuran di negeri itu

11:25 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan cuti peristiwa pada Isnin depan sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Susulan itu, beliau menggesa pengundi Selangor supaya mengundi calon PH dan BN demi kestabilan dan kemakmuran di negeri itu.

“Pilihan raya esok adalah tarikh penting dalam sejarah Selangor. Anda bakal menentukan masa depan negeri ini untuk tempoh lima tahun akan datang. Pilih gabungan yang menunjukkan prestasi dan pencapaian cemerlang sepanjang lima tahun ini mengatasi pelbagai krisis dan dugaan.

“Setiap undi dari anda adalah berharga. Undilah gabungan Perpaduan yang terbukti dan teruji. Kepada Allah SWT saya berserah dan memanjatkan doa. Semoga dikurniakan kemenangan dan kejayaan demi rakyat dan negeri ini, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas kepada rakyat Selangor yang bertemakan Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran, hari ini.

Menurut beliau lagi, sekiranya gabungan PH dan BN kekal berkuasa di Selangor, Kerajaan Perpaduan di negeri itu akan melaksanakan lima perkara yang diikhtiarkan dalam Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari memerintah.

Katanya, antara tawaran itu termasuk menghargai wanita bekerja dengan pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak dan melaksanakan pengecualian cukai pintu di rumah kampung dan rumah kos rendah.

“Selain itu, 1,000 mahasiswa Selangor juga akan menerima baucar buku Kita Selangor bernilai RM 200 manakala elaun Imam, Bilal dan Siak akan dinaikkan.

“Golongan petani, pesawah dan nelayan turut akan terima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM 1000 dalam tempoh tersebut,” katanya.

Jelas beliau, keyakinan untuk melaksanakan tawaran itu bukanlah disebabkan perasaan angkuh tetapi yakin dengan kebijaksanaan rakyat Selangor.

“Kita sedar untuk mengangkat Selangor dan rakyatnya ke suatu harakat yang lebih gemilang, perlunya kepada suatu kerajaan yang terbukti cekal menghadapi cabaran, cekap, tangkas dan berwibawa mengemudi kerajaan negeri.

“Selain itu, menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat dan menawarkan solusi kepada perkara dan cabaran yang bakal dihadapi,” katanya. – 11 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Rumah agam Sharifah Aini dirobohkan, ada persoal mengapa kerajaan tidak jadikan muzium?

Rumah agam milik biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang selama ini menjadi lambang kemewahan anak seni tempatan yang benar-benar sukses dalam bidang nyanyian sedang dalam proses untuk dirobohkan.

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

FashionValet’s RM43.9 mil loss sparks public scrutiny over co-owner Vivy Yusof

Social media users demand explanation from Duck, Lilit founder on how Khazanah, PNB’s RM47 mil investment was managed

Related