Kerajaan negeri tak boleh mansuh, gantung pengampunan diraja: Haniff Khatri

Beliau berkata, kerajaan negeri hanya boleh meluluskan usul untuk meminta kerajaan Persekutuan meminda atau membatalkan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perkara 42

10:56 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri tidak boleh memansuhkan atau menggantung pengampunan diraja sebagaimana cadangan Ahli Jawatankuasa Amanah, Muhammad Faiz Fadzil yang mencabar PAS supaya mengusulkan perkara itu dilakukan di empat negeri ditadbir parti itu.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegaskan, peruntukan pengampunan diraja wujud dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 42) iaitu Yang di-Pertuan Agong mengampunkan pesalah di Kuala Lumpur dan negeri-negeri yang tiada Sultan dan Sultan memberi pengampunan di negeri masing-masing.

“Peruntukan pengampunan ini wujudnya daripada Perlembagaan Persekutuan. Jadi yang boleh menangguhkan, meminda atau membatalkan peruntukan dalam Perkara 42 adalah kerajaan Persekutuan bukan kerajaan negeri,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebook milik beliau.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Muhammad Faiz yang mencabar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya mengusulkan pemansuhan kuasa Lembaga Pengampunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Terdahulu, Muhammad Faiz membidas kenyataan Hadi yang mempertikaikan hak Lembaga Pengampunan untuk mengampunkan pesalah kes jenayah.

“Hadi sengaja membangkitkan isu ini untuk memfitnah parti pemerintah atas nama sentimen agama serta kenyataan beliau yang mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu ini menunjukkan suatu usaha PAS untuk merungkai Perlembagaan.

“Hadi sendiri tahu bahawa tiada sebarang usul dibentangkan untuk memansuh kuasa pengampunan oleh Lembaga Pengampunan di Parlimen,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Hadi sebagai berkata, cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Ujarnya, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya Lembaga Pengampunan.

Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata, kerajaan negeri hanya boleh meluluskan usul untuk meminta kerajaan Persekutuan meminda atau membatalkan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perkara 42.

“(Tapi) Mereka tak ada kuasa nak gantung ataupun batalkan (pengampunan diraja),” katanya.

Haniff Khatri tidak asing lagi di pentas politik negara ini apabila beliau pernah membantu Bersatu dalam hal undang-undang sejak penubuhannya pada 2016, di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun memfailkan saman terhadap Bersatu dan tiga yang lain berhubung dakwaan yuran guaman berjumlah RM12.5 juta yang tidak dijelaskan parti itu.

Mahkamah menetapkan 18 hingga 24 Mac 2024 untuk perbicaraan penuh dan pengurusan kes itu ditetapkan pada 18 Januari tahun yang sama. – 29 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Squash ace Sivasangari breaks into world top 10

She has had a sterling tahun, including winning the London Squash Classic title in April

Tighten measures to combat online harm and cybercrimes – Derek Fernandez

With high rates of such issues, Malaysia still lacks digital sovereignty in terms of regulating these platforms particularly in holding themselves and users accountable

Proud to tell Sabah’s stories: Sandakan-based journalist bags four awards for Scoop

Two gold and two merits gives Rebecca Chong wins in four out of six English-language categories in the Kinabalu Press Awards 2024

Related