KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Pahang sudah selesai berbincang mengenai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, semalam yang berjalan secara harmoni dan penuh setiakawan.
Timbalan Pengerusinya, Rosli Abdul Jabar berkata, calon yang diketengahkan akan
mengambil kira aspirasi masyarakat setempat dan mampu membela nasib rakyat.
“Calon itu juga pastinya mampu bersaing dengan calon yang dipertaruhkan gabungan Pakatan Harapan (PN)-Barisan Nasional (BN).
“InsyaAllah calon yang kita pilih akan diumumkan apabila tiba masanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, gabungan itu sedang menyusun gerak kerja pilihan raya dalam usaha untuk memenangi kerusi tersebut.
“Dengan semangat setia kawan dan saling menghormati antara parti kompenen dalam PN, InsyaAllah gerak kerja kempen akan dapat dilaksanakan secara bersepadu dan tuntas.
“Sudah pasti PN menaruh harapan besar dan berusaha sedaya upaya untuk memenangi kerusi tersebut bagi menambahkan lagi kerusi PN di negeri itu,” katanya.
Ujarnya, dengan semangat dan komitmen ditunjukkan jentera pilihan raya, PN Pahang mampu membina keyakinan masyarakat di DUN Pelangai untuk memilih gabungan itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal pula ditetapkan pada 3 Oktober ini.
Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu yang turut mengorbankan sembilan individu lain.
Allahyarham yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai selepas memenangi kerusi berkenaan pada pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu.
Pada pilihan raya itu, Allahyarham menewaskan calon PN, Kasim Samat; Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH) dan Isa Ahmad (Pejuang) dengan majoriti 4,048 undi dalam saingan empat penjuru. – 6 September, 2023