Tidak! Saya bukan promote komunis, Raja Mukhriz reda babak akhir filem Pagari Bulan dipotong LPF kerana bimbang ia mampu cetuskan konflik

Raja Mukhriz mengakui terdapat banyak off scene di dalam filem ini dan dia mempunyai director’s cuts berdurasi tiga jam untuk simpanan peribadi

5:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Biarpun sedikit ralat, namun pengarah Pagari Bulan, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin mengakui reda apabila babak terakhir dalam filem terbaharunya arahannya itu dipotong Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Menyifatkan babak terakhir itu sebagai penting, Raja Mukhriz berkata, pemotongan tersebut menyebabkan ia menganggu perakhiran Pagari Bulan itu dalam mengangkat isu pemerkasaan wanita melalui premis comfort woman di dalam filem tersebut.

Poster menarik Pagari Bulan, filem yang mengangkat isu pemerkasaan wanita melalui premis comfort woman ketika zaman penjajahan Jepun. – Gambar Instagram Sharifah Shahora, 28 September, 2023

“Sebetulnya, kisah Bulan tidak habis pada babak akhir. Ada kisah lagi di depannya. Dia sepatutnya menyertai Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA). Adalah babak-babak perang lain di Sungai Manik.

“Tapi, itu yang dipotong. Saya reda. Saya fahamlah, mereka (LPF) bimbang, jika ia dilihat sebagai suatu cara untuk mempromosikan komunis.

“Tapi, sebetulnya saya tidak promote komunis. Tidak! Apa yang cuba saya gambarkan adalah apabila Jepun sudah bergerak keluar, komunis telah menguasai dan memerintah selama 11 hari. Apabila Bulan masuk komunis, dia nampak, rupanya komunis lagi teruk dan dia keluar,” katanya.

Sementara itu, isteri Raja Mukhriz iaitu aktres Sharifah Shahora yang bertindak sebagai penerbit eksekutif filem ini berkata, dia telah dipanggil oleh LPF kerana terdapat beberapa babak yang hampir-hampir dipotong.

“Kita kena buat pilihan dan babak terakhir itu dipotong kerana mereka tidak mahu mencetuskan ia dijadikan suatu propaganda. Dengan suasana dan situasi politik semasa juga, mereka tidak mahu timbulnya sebarang isu atau konflik yang akan mengakibatkan sesuatu yang kurang baik.

“Hanya babak itu sahaja yang dipotong tetapi babak-babak lain termasuk berkemban tidak dibuang,” katanya.

Sambung Raja Mukhriz lagi, pemotongan babak terakhir itu menyebabkan dia terpaksa mencari alternatif lain untuk menyelesaikan filem tersebut termasuk menukar posternya.

“Kalau lihat poster rasmi filem ini, kita tampilkan Bulan bersama anaknya dan suara latar juga dimasukkan selepas babak akhir itu dipotong. Tidak apalah. Kita bekerja secara kreatif dan kita juga harus selesaikan ia secara kreatif.

“Banyak lagi off scene yang terdapat di dalam filem ini. Saya juga memiliki director’s cut berdurasi selama tiga jam. Tapi, saya takkan bagi orang layan filem ini selama tiga jam. Sebab itu, bukan budaya menonton kita.

“Budaya menonton kita tidak sama dengan budaya menonton luar yang menonton filem Francis Ford Coppola. Jadi, off scene yang banyak dibuat itu simpanan peribadi,” katanya lagi.

Penerbit Eksekutif, yang juga isteri Raja Mukhriz, aktres Sharifah Shahora (kanan) berkata, dia telah dipanggil oleh LPF kerana terdapat beberapa babak yang nyaris dipotong. – Gambar Instagram Sharifah Shahora, 28 September, 2023

Pagari Bulan mengisahkan tentang kisah wanita menjadi tahanan di kem askar Jepun untuk dijadikan comfort woman atau wanita pemuas nafsu.

Bulan, Kasih dan rakan baiknya, Sui Li telah ditangkap dan dipaksa mengikuti segala kemahuan askar Jepun. Apakah mereka berhasil membebaskan diri?

Filem terbitan Eleven Field Creative Sdn Bhd milik Raja Mukhriz dan Sharifah Shahora ini dibintangi Nazeera Sardi, Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh, Alvin Wong, Michael Ang dan Chelsia Ng. Ia bakal ditayangkan di pawagam pada 5 Oktober ini. – 28 September, 2023

Topics

 

Popular

Ahmad Samsuri kekal sebagai MB Terengganu

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering, dekat sini hari ini

Operasi beras putih tempatan dilaksana

“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat, mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya.

Akui jualan bisnes terkesan bila TikTok Shop ditutup, Luna Maya tetap sokong tindakan pemerintah yang mahu melindungi bisnes masyarakat lokal

Pelakon jelita Indonesia, Luna Maya mengakui keputusan kerajaan Indonesia untuk menutup Tik Tok Shop secara rasmi pada 4 Oktober lalu telah memberikan impak yang cukup besar kepada bisnes yang diusahakannya.

Related