Gara-gara DAP kafir, Dewan Rakyat kecoh seketika

Tindakan itu mengundang kemarahan RSN Rayer yang menggesa Ahmad Marzuk menarik balik kenyataannya memandangkan DAP turut dianggotai Ahli Parlimen beragama Islam

6:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary melabelkan DAP sebagai kafir.

Tindakan itu mengundang kemarahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menggesa pemimpin PAS tersebut menarik balik kenyataannya memandangkan DAP turut dianggotai Ahli Parlimen beragama Islam.

“Yang Berhormat (YB) Pengkalan Chepa telah mengeluarkan kenyataan, semua juga mendengar bahawa DAP kafir. Kita ada Ahli Parlimen dari Bentong, Bangi dan Bukit Bendera yang beragama Islam. Kalau nak kafirkan kami tiada masalah, tapi mereka Ahli Parlimen beragama Islam.

“Tolong jangan biadap begini. Saya minta (timbalan) Speaker (untuk) beliau (Ahmad Marzuk) tarik balik kenyataan itu kerana kenyataan beliau DAP kafir adalah kurang sopan dan biadap,” katanya ketika bangkit mencelah pada sesi perbahasan Bajet 2024, hari ini.

Bagaimanapun, mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu dilihat cuba menegakkan ‘benang yang basah’ walaupun sudah menarik balik kenyataannya seperti diarahkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor.

“Saya dengan kepimpinan PAS sehingga keluar masuk televisyen tak setuju dengan kenyataan Mufti Pahang dan kalau dalam bahasa percakapan ilmu seni bahasa arab, kita sebut menyeluruh namun maksudnya hanya tertentu.

“(Sebagai contoh), Jelutong kafir, Ipoh Timur kafir saya sebut umum tapi khusus kepada yang tertentu (bukan semua ahli DAP). Itu kalau salah tafsir, saya tarik balik. Namun DAP adalah kafir harbi seperti didakwa Mufti Pahang (sebelum ini) kita tak setuju kerana risikonya sangat besar,” katanya.

Rayer yang dilihat masih tidak berpuas hati cuba ‘ditenangkan’ Ramli selepas beliau secara jelas mendengar kenyataan itu ditarik balik oleh Ahmad Marzuk.

Terdahulu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman pada 2016 mengeluarkan dakwaan bahawa DAP tergolong dalam kalangan kafir harbi dan komited untuk tidak memohon maaf walaupun pelbagai pihak, khususnya parti itu menggesa permohonan maaf daripadanya.

Abdul Rahman menjelaskan, kenyataannya sebelum ini tidak merujuk kepada DAP, tetapi kepada sesiapa sahaja yang menentang Islam boleh diistilahkan sebagai pemikiran kafir harbi iaitu cuba hendak memerangi umat Islam dan agama Islam. – 17 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Set aside differences: follow T’ganu’s lead putting unity first on National Day

State governments led by the opposition should emulate the Terengganu government’s move to use the same National hari logo and theme as the federal government.

Elmina crash: SG experts fail to retrieve memory puck data, M’sia turns to US for help

Singapore authorities have been unable to retrieve data from the memory puck in the cockpit voice recorder recovered from the plane wreckage in Bandar Elmina, Shah Alam last minggu.

Fahmi defends MCMC enforcement actions against local website

Communications and Digital Minister Fahmi Fadzil has defended enforcement actions by the Malaysian Communications and Multimedia Commission against a local website.

Related