Saya selalu bayangkan macam mana kehidupan saya jika Ieda ‘pergi’ dulu: Noorkhiriah

Biarpun jarang berjumpa, namun hubungan mereka bagai ada magis tersendiri kerana masing-masing akan saling menghubungi

3:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hubungan persahabatan baik antara pelakon Noorkhiriah dan Ieda Moin sudah menjangkau 20 tahun.

Dalam tempoh itu, pelbagai kisah suka duka, onak dan duri dilalui mereka.

Biarpun jarang berjumpa, namun hubungan mereka bagai ada magis tersendiri kerana masing-masing akan saling menghubungi.

“Kalau saya teringat dia (Ieda), saya akan telefon dan kemudian dia pun akan cakap sedang teringatkan saya.

“Begitulah hubungan kami berdua,” kata Noorkhiriah ketika ditemui pada sidang media rancangan komedi terbaru, ‘Gelak 90 Saat’.

Bagi Ieda pula, Noorkhiriah adalah sahabat baiknya dunia dan akhirat kerana mendorongnya untuk berhijrah serta memakai hijab – Gambar Astro, 20 Oktober, 2023

Bagi Ieda pula, Noorkhiriah adalah sahabat baiknya dunia dan akhirat kerana mendorongnya untuk berhijrah serta memakai hijab.

“Dia adalah seorang sahabat yang tiba-tiba telefon dan tanya kau okey tak? Kau nak pakai duit tak? Dia sampai ke tahap itu. Tak ada lagi kawan saya macam tu.

“Dulu waktu muda kami ada zaman jahiliah kami. Rasanya ramai yang tahu macam mana kami dulu dengan pakaian seksi dan sebagainya.

“Ketika waktu saya nak berhijrah, dialah orang paling memberi sokongan buat saya. Dia juga orang pertama belikan saya tudung,” kongsinya.

Disebabkan terlalu akrab, Noorkhiriah mengakui kadangkala dia terfikir bagaimana kehidupannya nanti jika ditakdirkan sahabatnya terlebih dulu dijemput Ilahi.

“Saya selalu bayangkan macam mana kehidupan saya jika Ieda meninggal dunia. Malah kami juga pernah berbual mengenai perkara ini,” ujarnya.

Persahabatan Noorkhiriah dan Ieda bakal dibawa ke rancangan Gelak 90 Saat di mana mereka berdua bergandingan sebagai peserta – Gambar Astro, 20 Oktober, 2023

Tambah Ieda, disebabkan Nookhiriah mempunyai beberapa van jenazah, dia selalu bergurau warna apa van jenazahnya nanti jika meninggal dunia.

“Saya kata kepadanya kau jangan sampai van tu keluar dua-dua (warna). Hitam dan putih bawa kita berdua. Begitulah perbualan dan gurauan kami,” selorohnya.

Persahabatan mereka berdua bakal dibawa ke rancangan Gelak 90 Saat di mana mereka berdua bergandingan sebagai peserta.

Dalam program itu, mereka perlu melakukan sketsa komedi berdurasi 90 saat di hadapan seorang juri jemputan sehinggalah juri itu ketawa.

Gelak 90 Saat bakal menemui penonton bermula 20 Oktober, jam 9 malam di Astro Warna. – 20 Oktober 2023

Topics

 

Popular

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

MCMC shines globally with 12 projects on 2025 WSIS Prizes stage

Malaysia cements its digital leadership as MCMC earns highest number of shortlisted spots yet at the international awards recognising ICT for sustainable development, public encouraged to vote

Related