KUALA LUMPUR — Usahawan dan selebriti Nur Fazura menyokong gerakan memboikot jenama atau produk berkaitan Israel namun jangan jadikan orang lain sebagai ‘punching bag’.
Jelasnya, janganlah keterlaluan dalam memboikot sehingga mampu memberi kesan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang mencari rezeki halal.
“Jadi janganlah kecam mereka kerana mereka mencari rezeki untuk keluarga. Mungkin senang untuk bercakap carilah kerja lain. Tetapi tidak semudah itu buat mereka. Jangan sebab terlalu marah, kita hentam orang lain, kita hina mereka. Itu bukan cara orang Islam.
“Memang kita marah, tetapi jangan jadikan orang lain sebagai ‘punching bag’. Kita kena faham situasi orang tu. Tak semua orang dikurniakan kerja yang mereka suka. Tak semua tempat memberi peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang Upaya (OKU),’’ katanya pada majlis Ngopi Bersama Fazura.
Beliau mengulas mengenai kempen boikot jenama Israel yang bukan hanya dilaksanakan di negara ini malah juga di luar negara.

Fazura, 40, bagaimanapun merasakan wajar untuk orang ramai memboikot jenama atau produk yang menyumbang kepada Zionis.
“Rasanya ramai sudah tahu jenama atau produk mana yang menyumbang kepada Israel dan Zionis yang menghancurkan saudara-saudara kita di Palestin. Jadi memang wajib kita boikot.
“Tolong boikot kerana walaupun ramai yang merasakan boikot itu tidak berkesan, tetapi ia telah terbukti berkesan. Saham mereka mulai jatuh, banyak kedai terpaksa ditutup dan sebagainya. Itulah kita punya jihad,’’ katanya.
Dalam perkembangan lain, Fazura bakal membuat persembahan di Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi yang menampilkan Opick dan Sakti (bekas gitaris Sheila On 7) pada Sabtu ini di Zepp Kuala Lumpur. – 7 November 2023