KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Mohammad Agus Yusoff perlu melepaskan jawatan susulan prestasi yang lemah dalam mengepalai jabatan tersebut.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Rusdi Omar berkata, ketika ini Agus pastinya menyedari ramai pihak yang tidak berpuashati dengan fungsi dan kebolehannya dalam menerajui agensi itu.

“Kebiasaannya untuk nilai kena lihat prestasi, tapi kalau ramai tak puas hati kenalah dia ambil tanggungjawab sama ada lepaskan jawatan atau buat sesuatu (untuk J-Kom), dia pun tahu ramai yang tidak puas hati.
“Mungkin ini masa yang sukar untuk beliau, tapi jangan terlalu berpolitik dalam J-Kom, kena buat kerjalah, jangan tumpu TikTok sahaja, memang media sosial mainkan peranan penting ketika ini, namun rakyat juga hendak agensi kerajaan dekat dengan mereka,” katanya kepada Scoop.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menyifatkan ‘kegagalan’ Agus itu memberikan kesan negatif kepada kerajaan.
Ketika membahaskan Bajet 2024 di Dewan Rakyat, Awang mencadangkan kepada kerajaan supaya agensi terbabit, yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dibubarkan.
Menurut Rusdi, teguran pembangkang itu wajar menjadi ‘wake-up call’ terutama kepada Agus untuk meningkatkan usaha memastikan fungsi kewujudan J-Kom mencapai maksudnya.
“Kalau lihat objektif J-Kom untuk beri maklumat kepada segenap lapisan rakyat tapi apa yang kerajaan buat contohnya ekonomi Madani ke, sepatutnya rakyat di bawah dah jelas dan tahu dah apa itu Malaysia Madani.
“J-KOM perlu mainkan peranan lebih daripada sekarang ini, tingkatkan usaha, bergerak lebih pantas, turun ke bawah sampaikan atau buat program bersama rakyat,” katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, J-KOM perlu menyampaikan maklumat secara strategik mengikut sasaran-sasaran tertentu.
“Tapi bila pihak pembangkang yang menyatakan J-Kom itu tidak terurus, tidak sampai matlamatnya, saya agak pelik, seharusnya pembangkang bergembira dalam hal ini sebab apa yang dilakukan kerajaan itu tidak sampai kepada rakyat untuk difahami.
“Mungkin Ketua Pengarahnya terlalu efektif sehinggakan pembangkang mencadangkan supaya berlaku penukaran atau pembubaran, mungkin kerana terlampau efektifnya J-Kom kalau cadangan itu datang daripada pembangkang,” sindirnya.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Mazlan Ali pula berpandangan fungsi dan peranan J-Kom di bawah Kerajaan Perpaduan tidak boleh disamakan ketika agensi itu di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
“J-Kom zaman kerajaan Madani mungkin berbeza berbanding pentadbiran dahulu. Contoh zaman Barisan Nasional (BN), J-Kom atau Jasa ketika itu memainkan peranan sebagai nadi penerangan kerajaan yang ada kaitan langsung dengan penglibatan ahli dan petugas parti kerajaan pemerintah. Sebab itu ada yang anggap berkesan.
“Atas sebab perbezaan pendekatan J-Kom dulu dan sekarang, maka orang beranggapan J-Kom (sekarang) lembap dan tak berkesan. Tetapi saya fikir J-Kom telah melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya. – 8 November, 2023