KUALA LUMPUR — Menyamakan pendekatan pemerintahan Kerajaan Perpaduan seperti pendekatan golongan munafiq pada zaman Rasulullah SAW adalah berniat jahat dan jauh menyimpang daripada fakta serta kebenaran.
Malah Setiausaha politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim turut mempersoalkan sejak bila Kerajaan Persekutuan melakukan sekatan ekonomi ke atas negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS.
Tegasnya, dakwaan itu satu fitnah yang maha dahsyat, malah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri gagal selama 33 bulan untuk menyelesaikan isu royalti ketika memegang kuasa.
Ia juga adalah fakta yang sesiapapun di dalam PAS tidak mampu menyangkalnya dan begitu juga dengan peruntukan kepada negeri-negeri PAS adalah bertambah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Peruntukan Pemberian/Bantuan Negeri Negeri Kedah (RM512.1 juta 2023 ketimbang RM458.1 juta (2022 ); Kelantan ( RM351.5 juta pada 2023 ketimbang 331.2 juta (2022 ), Terengganu (RM411.1 juta tahun 2023 ketimbang RM393.6 juta 2022 ), Perlis (RM154 juta tahun 2023 ketimbang 138.1 juta tahun 2022 ).
“Bagaimana ulamak boleh menghamburkan fitnah sedemikian rupa dan menyamakan acuan demokrasi PH dengan Israel – apa yang cuba diselewengkan oleh Presiden PAS sebenarnya? Apakah beliau lupa bahawa PH merupakan blok terbesar yang menang dalam PRU-15 yang lalu?,’’ katanya menerusi hantaran di platform X, semalam.
Terdahulu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam tulisannya di Facebook bertajuk ‘cara golongan munafiq menentang Islam diikuti Israel dan Pakatan Harapan’ berkata, konsep yang digunapakai oleh PH menepati demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap Kerajaan Hamas di Palestin yang memenangi pilihan raya dan mencapai majoriti yang mencukupi.
MENOPANG MINDA PRESIDEN PAS
— Kamil Munim 🇲🇾 (@kamilmunim) December 7, 2023
Nabi SAW bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah R.A:”
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ“. قَالَهَا ثَلاَثًا ”
Maksudnya: “Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali” [Riwayat Muslim (2670)]
Inilah… pic.twitter.com/w3u7ix9eBe
Namun, katanya Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai kumpulan minoriti yang tunduk menjadi boneka Zionis Israel dan Amerika Syarikat pula yang menubuhkan kerajaan dengan mengikuti telunjuk mereka.
“Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti minoriti kini memimpin kerajaan boneka pragmatik liberal. Situasi ini sama seperti PLO yang mencapai keputusan minoriti diberikan hak bagi menubuhkan kerajaan dengan sokongan Israel dan Amerika Syarikat,’’ kata Hadi.
Mengulas lanjut, Kamil berkata, PAS kini semakin terdesak dan kekuatan PN juga semakin melemah.
Justeru, katanya mereka menyerang kerajaan kerana angka serta petunjuk ekonomi di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin baik dan pelaburan juga semakin bertambah.
Tambah beliau, apabila tahap keyakinan luar terhadap Malaysia semakin mengukuh di bawah Perdana Menteri, maka parti berkenaan tidak dapat membiarkan perkara itu berlaku.
“Bagi mereka, ini tidak boleh dibiarkan. Jika tidak sokongan mereka akan terus merosot. Justeru menggelar PH sebagai munafik, musuh Islam yang mengamalkan demokrasi ala Israel, ia membenarkan pandangan bahawa PAS sebuah parti yang berfikrah ekstrem.
“Inilah yang dikatakan Rasulullah, yakni penyebar fitnah dan golongan pelampau itu ada dalam kalangan kita. Malah golongan pelampau yang disebut dalam hadis Nabi ini adalah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka,’’ katanya.
Menurut Kamil, jalan tuntas PAS untuk mempengaruhi minda khususnya masyarakat Melayu Islam adalah dengan menunggang dan memanupulasi nas serta dalil agama mengikut tembolok pemimpin di dalam PAS.
‘Menghalakan apa saja seruan Tuhan di dalam Al-Quran ke arah manusia dan pihak lain yang tidak berada di jalur politik yang sama. Inilah contoh gejala pelampau dan radikal dalam beragama yang ditegah dan dilarang dalam Islam. Jangan terkejut jika ada ugutan dan seruan untuk membunuh YAB PMX berulang yang telah pun kita saksikan sepanjang setahun ini,’’ katanya.
Kamil turut memberi nasihat supaya setiap pihak berpolitik secara matang.
“Iblis dilaknat bukan kerana tidak mengakui kewujudan Tuhan yang satu, tetapi kerana merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam, penuh dengan hasad, sombong dan takabur,’’ ujar beliau. – 8 Disember, 2023