Pelajar tingkatan 5 maut dilanggar: Ujian air kencing pegawai kanan polis negatif dadah

Polis masih menunggu keputusan sampel darah individu terbabit daripada pihak patalogi

1:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sampel ujian urin ke atas pegawai kanan polis yang ditahan berhubung kes kematian seorang pelajar tingkatan lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, kelmarin, disahkan negatif dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, keputusan itu diperoleh selepas ujian air kencing dijalankan ke atas lelaki tersebut sejurus ditahan Jumaat lalu.

“Ujian urin telah dibuat dan disahkan negatif.

“Sampel darah individu terbabit juga sudah diambil dan kami sedang menunggu keputusan daripada pihak patalogi,” katanya seperti dilaporkan Sinar.

Pada masa sama, Mohd Yusri turut meminta orang ramai supaya tidak memberikan sebarang andaian negatif berhubung siasatan kes itu terutama di media sosial.

Katanya, semua pihak perlu memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan tersebut secara telus.

“Saya baca semua yang tular di media sosial, kononnya polis akan melindungi suspek kerana dia pegawai kita. Tuduhan itu (berunsur) fitnah dan tidak benar sama sekali,” katanya.

Kelmarin, Muhammad Zaharif Affendi yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Jati, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari belakang oleh kereta dipandu suspek.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas pemandu terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuat bunyi bising ekzos ketika perjalanan pulang dari sekolah dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.

Dikatakan, ketidakpuasan hati itu mendorong pemandu berkenaan mengejar motosikal ditunggang remaja tersebut kira-kira satu kilometer (km) sebelum melanggarnya dari belakang.

Akibat pelanggaran itu, mangsa yang masih lengkap berpakaian sukan sekolah terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan terbabit.

Saksi kejadian turut memaklumkan, pemandu kereta berkenaan kemudiannya berpatah balik ke lokasi untuk melihat keadaan mangsa sebelum beredar selepas menyedari kehadiran orang ramai.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk bedah siasat. – 17 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Pembangkang minta tangguh perbincangan peruntukan Ahli Parlimen: Fadillah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin serta wakil parti pembangkang, telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan kepada minggu hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

Ipoh’s creative scene makes it to Unesco Creative Cities Network listing 

Perak’s capital city, Ipoh, can now boast of being the first city in Malaysia to have its media, arts, and music scene recognised by the United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation.

Full trial for Sabah Law Society vs Putrajaya over state’s 40% grant

Federal Court dumps Attorney-General’s bid to stop the society’s judicial review against federal government over state’s revenue rights under the Malaysia Agreement 1963

Related