Kes pelajar tingkatan 5 maut dilanggar: Keputusan dakwa pegawai kanan bukti polis telus: KPN

Pegawai itu akan ditahan kerja sebaik sahaja didakwa di mahkamah hari ini

8:20 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa pegawai kanan polis yang dipercayai terlibat dalam kes kemalangan maut seorang pelajar tingkatan lima di Meru, Jumaat lalu di bawah kesalahan membunuh membuktikan ketelusan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan mendakwa pegawai berpangkat DSP itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini diputuskan Jabatan Peguam Negara berdasarkan bukti dan keterangan yang diperoleh hasil siasatan menyeluruh oleh pegawai penyiasat.

“Keputusan ini memperlihatkan ketelusan polis dalam melakukan siasatan terhadap sebarang kes jenayah termasuk melibatkan pegawai kanan polis. Siasatan kes ini dikendalikan oleh Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik dan berkredibiliti.

“Saya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang melakukan jenayah, saya akan pastikan siasatan yang telus dan adil dijalankan bagi menjaga nama baik pasukan ini,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara malam tadi yang memaklumkan akan mendakwa suspek yang dipercayai terlibat dengan kes membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Razarudin berkata, pegawai itu akan ditahan kerja sebaik sahaja didakwa di mahkamah hari ini.

Pada masa sama, beliau mahu setiap pegawai dan anggota polis mengambil iktibar serta pengajaran daripada kes tersebut.

Beliau berkata, setiap anggota pasukan keselamatan itu perlu sentiasa menjaga nama baik pasukan dan tidak berselindung di sebalik pakaian seragam polis apabila melakukan jenayah.

Pada 15 Disember lalu, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Kemalangan pada kira-kira 12.30 tengah hari itu menyebabkan Muhammad Zaharif Affendi, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.

Susulan itu, pegawai kanan polis berkenaan ditahan reman selama tiga hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan. – 18 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Pembangkang minta tangguh perbincangan peruntukan Ahli Parlimen: Fadillah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin serta wakil parti pembangkang, telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan kepada minggu hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

Full trial for Sabah Law Society vs Putrajaya over state’s 40% grant

Federal Court dumps Attorney-General’s bid to stop the society’s judicial review against federal government over state’s revenue rights under the Malaysia Agreement 1963

Ipoh’s creative scene makes it to Unesco Creative Cities Network listing 

Perak’s capital city, Ipoh, can now boast of being the first city in Malaysia to have its media, arts, and music scene recognised by the United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation.

Related