Malaysia kecam serangan kejam Israel ke atas Hospital Kamal Adwan di Gaza

Kepungan ke atas Gaza jelas merupakan jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa

9:49 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam tentera peneceroboh lsrael ke atas Hospital Kamal Adwan di Gaza yang menjadi tempat perlindungan dan rawatan bagi rakyat Palestin.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), serangan terhadap kemudahan kesihatan merupakan satu ciri pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

“Kepungan ke atas Gaza jelas merupakan jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa. Ia melanggar hak asasi manusia iaitu hak untuk hidup dan hak untuk menentukan nasib sendiri.

“Tindakan memaksa orang awam berpindah serta cubaan menjadikan Gaza sebagai tempat yang  tidak dapat didiami mesti ditamatkan,” menurut kementerian itu.

Konvensyen Geneva 1949 dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa menuntut perlindungan dan menghormati maruah semua mangsa konflik.

Ini termasuk mengurus jenazah mangsa yang telah terkorban dengan penuh hormat.

Selain itu, orang awam di Gaza mesti dilayan dengan perikemanusiaan dan hak mereka untuk pulang wajib  dihormati.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk menggunakan semua cara yang ada untuk mengelakkan kehilangan nyawa dan menamatkan penderitaan rakyat Palestin dengan segera, menurut kenyataan itu.

“Rejim Israel tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa. Israel mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah yang telah dilakukannya terhadap rakyat Palestin.

“Adalah penting bagi masyarakat antarabangsa secara kolektif menangani krisis kemanusiaan yang semakin mendesak dengan menamatkan serangan Israel ke atas orang awam di Gaza.

“Malaysia tetap dengan pendirian bahawa serangan berterusan ke atas orang awam merupakan jenayah perang dan Israel mesti dipertanggungjawabkan atas perbuatan itu dan tindakannya menduduki wilayah Palestin,” menurut kenyataan itu. – 18 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Sambutan Hari Merdeka yang cukup luar biasa, PM zahir penghargaan pada semua

Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semangat merdeka rakyat itu akan terus diperkukuh dan tersemat jitu di setiap sanubari segenap lapisan masyarakat.

Liverpool crowned Premier League champs, match Man Utd’s record of 20 top titles

Historic win before Anfield crowd delivered by Mo Salah, affirmation for Arne Slot in his debut season with the Reds

National football legend Khalid Ali dies at 66

The Football Association of Malaysia (FAM) announced Khalid’s death in a Facebook post today, which said that he had been fighting lung cancer for nearly a year.

Related