Banjir: Masjid, surau diminta adakan solat hajat demi keselamatan mangsa, negara

Permintaan itu diluahkan Na’im yang turut memaklumkan, pihaknya sudah mengarahkan agensi dan seluruh jentera Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk membantu mangsa musibah itu

10:26 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua masjid dan surau di seluruh negara dimohon mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan serta kesejahteraan Malaysia yang kini menyaksikan beberapa negeri dilanda banjir buruk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu juga diminta diadakan untuk mendoakan kebaikan mangsa terjejas kerana musibah terbabit.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon masjid dan surau di seluruh negara dapat mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh mangsa terjejas.

“Semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, pihak jabatan itu amat bersimpati dan sedih dengan banjir menimpa penduduk di lima negeri yang terkesan sejak beberapa hari lalu.

“Saya sudah mengarahkan agensi dan seluruh jentera Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, selain turun serta membantu mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada,” katanya.

Na’im berkata, beliau akan turun padang bersama agensi di jabatan itu untuk meninjau dan membantu mangsa terkesan di negeri terjejas.

“Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur selepas selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara, terutama membabitkan umat Islam dua negara serumpun.

“Lawatan ini saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia.

“Penghargaan juga dizahirkan kepada petugas barisan hadapan, terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir,” katanya.

Setakat jam 8.01 pagi tadi, seramai 27,887 orang daripada lebih 17,400 keluarga ditempatkan di 171 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara, susulan banjir teruk menjejaskan kediaman dan kawasan sekitarnya.

Jumlah itu membabitkan mangsa di lima negeri, iaitu Kelantan yang mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi, iaitu (21,380), Terengganu (6,247), Pahang (127), Johor (113) dan Sabah (20). – 28 Disember, 2023.

Topics

 

Hangat

Set aside differences: follow T’ganu’s lead putting unity first on National Day

State governments led by the opposition should emulate the Terengganu government’s move to use the same National hari logo and theme as the federal government.

Elmina crash: SG experts fail to retrieve memory puck data, M’sia turns to US for help

Singapore authorities have been unable to retrieve data from the memory puck in the cockpit voice recorder recovered from the plane wreckage in Bandar Elmina, Shah Alam last minggu.

Fahmi defends MCMC enforcement actions against local website

Communications and Digital Minister Fahmi Fadzil has defended enforcement actions by the Malaysian Communications and Multimedia Commission against a local website.

Related