Dua beranak rentung: Polis tidak kesan unsur jenayah

Hasil bedah siasat pihak perubatan Hospital Gerik mengesahkan kematian kedua-dua mangsa akibat kebakaran, tiada sebarang kecederaan lain ditemukan

10:14 PM MYT

 

GERIK – Tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kes kebakaran pondok di sebuah dusun di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda di sini hari ini, yang mengorbankan dua beranak.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, melalui keterangan saksi yang merupakan suami dan bapa mangsa, kebakaran dipercayai bermula di bahagian dapur pondok berkenaan pada kira-kira 4 pagi.

“Saksi juga cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa tetapi tidak berupaya sebelum meminta bantuan daripada penduduk berhampiran.

“Hasil siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian turut mendapati pondok tersebut jauh dari jalan utama dan merupakan laluan tanah merah untuk ke kawasan kebun,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Zulkifli berkata, hasil bedah siasat oleh pihak perubatan Hospital Gerik juga mengesahkan kematian kedua-dua mangsa disebabkan kecederaan akibat kebakaran, selain diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa juga tidak menemui sebarang kecederaan lain. Jenazah kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Dalam kejadian pada awal pagi tadi itu, mangsa Rahmah Zainon, 76, ditemukan rentung bersama anak perempuannya, Razilawati Mohamad, 43, yang cacat penglihatan dalam kebakaran sebuah pondok di dusun buah-buahan.

Turut berada di dalam pondok ketika kejadian, suami yang juga bapa mangsa, Mohamad Abd Latif, 84.

Sementara itu, anak Allahyarham Rahmah, Saudin Mohamad, 37, ketika ditemui media di Unit Forensik Hospital Gerik berkata, mereka sekeluarga lebih 30 tahun berulang-alik dari kampung di Kuala Ketil, Kedah ke pondok dalam dusun milik keluarga itu yang ditanam durian dan buah-buahan lain.

Menurut anak bongsu daripada lapan beradik itu, minggu lepas mereka sekeluarga baru berkumpul di pondok tersebut sebelum dia dan adik beradik lain pulang semula ke Kuala Ketil, manakala bapa, ibu serta kakaknya yang merupakan anak keenam mengambil keputusan untuk tinggal lebih lama.

“Kakak memang paling rapat dengan ibu dan ayah, ke mana-mana kakak memang selalu bersama mereka. Ibu pula menyatakan dia mahu tinggal lebih lama di rumah dusun itu kerana berasa tenang di situ,” katanya yang hanya mengetahui mengenai kematian ibu dan kakaknya sebaik tiba dari Kuala Ketil pagi ini.

Menceritakan mengenai kejadian itu, Saudin berkata, dia difahamkan bapanya cuba memadamkan api yang disyaki berpunca daripada jerangan air, tetapi telah terlambat kerana api marak terlalu cepat menyambar pondok kayu itu.

Dia berkata, jenazah ibu dan kakaknya akan dibawa balik ke Kuala Ketil untuk dikebumikan selepas proses bedah siasat. – 1 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

MetMalaysia alert: thunderstorms to lash multiple states

Meteorological Dept warns that thunderstorms and heavy rain are expected in nearly all states until at least 6pm today

MAHB posts over 11 mil in total passenger movements for Feb 2024

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) showed an unusually strong growth momentum with a record of 11 million passenger movements in February 2024 despite the shorter month.

Sabah govt to aid displaced Bajau Laut community: Hajiji

CM urges public not to politicise the issue, saying the state government is able to support the displaced community

Related