KUALA LUMPUR – Peniaga ikan di Kuala Ibai, Terengganu yang baru-baru ini tular di media sosial kerana menjual ikan siakap pada harga 90 sen seekor, merancang untuk meneruskan jualan ‘Rahmah’ itu pada masa depan dan mungkin pada harga lebih murah.
Bagaimanapun Sauffian Sauji, 36, yang juga pemilik kedai Ikan Flyover berkata, beliau tidak dapat menentukan bila jualan murah yang seterusnya akan diadakan.
“Insya-Allah jika ada rezeki lebih, kita akan buat lagi dan mungkin lagi murah,’’ katanya kepada Scoop hari ini.
Mengulas lanjut, Sauffian memberitahu, salah satu faktor beliau menjual ikan siakap pada harga 90 sen adalah bagi mengurangkan beban pelanggannya yang kurang berkemampuan.
“Walaupun harga murah tetapi tetap ada untung, walaupun (untung) sikit tapi bila barang laku banyak tetap dapat untung yang tinggi,” kata Sauffian.
Watch on TikTok
Tambahnya, buat masa ini ikan siakap hanya dijual di Terengganu disebabkan hasil laut mudah diperolehi di negeri terbabit.
“Lebih-lebih lagi bila semua bot keluar ke laut dan ikan yang dibawa balik adalah banyak dan seterusnya harga ikan akan menjadi murah,’’ katanya.
Semalam, tular di media sosial video orang ramai membanjiri seawal 6 pagi di kedai Sauffian kerana ikan siakap dijual pada harga istimewa 90 sen seekor bagi ikan seberat kira-kira 700 gram.
Sauffian berkata harga tersebut sangat murah jika dibandingkan harga pasaran iaitu RM10 sehingga RM11 seekor bagi saiz yang sama.
Sebanyak 1,000 ekor ikan siakap dijual dengan harga murah dengan had pembelian maksimum enam ekor seorang dan kesemua ikan sangkar itu habis terjual dalam tempoh 40 minit.
Jualan murah itu juga bersempena dengan pembukaan cawangan keempat kedainya dan bercadang mengadakan jualan ikan siakap pada harga 80 seekor pada masa akan datang. – 4 Januari, 2024