Piala Asia 2023: Qatar mulakan misi pertahan kejuaraan dengan langkah kanan

Tuan rumah membenam Lubnan 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Lusail

8:50 AM MYT

 

DOHA – Tuan rumah, Qatar bermula cemerlang dalam misi mempertahankan kejuaraan selepas menundukkan Lubnan 3-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan A yang juga aksi pembukaan Piala Asia 2023 di Stadium Lusail di sini, awal pagi tadi.

Penyerang kelab Al Sadd, Akram Afif mencuri tumpuan dengan meledak dua gol menarik, sementara pemenang Kasut Emas Piala Asia 2019, Almoez Ali turut mencetak nama sebagai penjaring untuk memberi permulaan sempurna buat skuad The Maroons.

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, Qatar yang menghuni ranking ke-58 dunia bermula garang apabila Ali berjaya meletakkan bola di gawang, namun jaringannya pada minit kelima itu dibatalkan disebabkan ofsaid.

Namun, kebuntuan mencipta gerakan efektif menghantui skuad bimbingan Marquez Lopez selepas itu, sementara Lubnan mula menemui rentak dan berjaya mencipta beberapa peluang jaringan termasuk rembatan deras kapten Hassan Maatouk, yang diselamatkan penjaga gol Mostafa Matar pada minit ke-21.

Qatar yang kembali menemui rentak hampir meledak gol pertama, namun tandukan Afif yang menerima hantaran cantik Yusuf Abdurisag dari sebelah kanan, hanya menggegar palang pada minit ke-31.

Afif akhirnya berjaya membantu Qatar memecah kebuntuan pada minit ke-45, apabila merembat bola umpanan Ali dalam kotak penalti sekali gus menjadi gol pertama edisi 2023 pertandingan bola sepak terulung Asia itu.

Penyerang Qatar, Hassan Al-Haydos (depan, kiri) diasak pertahanan, Lubnan dalam aksi Kumpulan A, Piala Asia 2023 di Lusail, Qatar awal pagi tadi. – Gambar Bernama, 13 Januari, 2024

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah terus mendominasi permainan dan Ali menggandakan kedudukan pada minit ke-56 apabila menanduk bola hantaran ketua pasukan, Hassan Al-Haydos sekali gus mengubati kekecewaan jaringan yang dibatalkan terdahulu.

Ketika permainan seolah-olah berkesudahan 2-0, Afif sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah apabila mengesahkan kemenangan pasukan menerusi gol ketiga pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Qatar yang dibimbing pengendali Sepanyol, Marquez Lopez akan bertemu Tajikistan pada 17 Januari, diikuti China pada 22 Januari. – 13 Januari, 2024

Topics

 

Popular

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Operasi beras putih tempatan dilaksana

“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat, mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya.

Kenapa Muhyiddin ‘mengamuk’ SPRM serbu firma guaman?: Puad

Tuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kerajaan Perpaduan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi tekanan kepada pembangkang, susulan serbuan ke atas firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS), adalah tidak tepat dan berat sebelah

Related