Ribuan rakyat Johor iringi keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Negara

Keberangkatan Sultan Ibrahim disaksikan kira-kira 30,000 rakyat Johor, termasuk murid sekolah, penjawat awam negeri serta orang ramai yang berhimpun di sepanjang laluan menghala ke LTAS

10:18 AM MYT

 

JOHOR BAHRU – Ribuan rakyat Johor menunggu seawal 6.30 pagi di sepanjang laluan dari Istana Bukit Serene hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di Kulai bagi menyaksikan sendiri detik bersejarah keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim ke Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Sultan Ibrahim yang lengkap berpakaian istiadat menaiki kenderaan rasmi meninggalkan Istana Bukit Serene, di sini pada 7.45 pagi dengan diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku menteri pengiring dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Keberangkatan Sultan Ibrahim disaksikan kira-kira 30,000 rakyat Johor, termasuk murid sekolah, penjawat awam negeri serta orang ramai yang berhimpun di sepanjang laluan menghala ke LTAS antaranya Taman Scientex Utama Senai, Taman Aman, Pekan Senai dan Masjid LTAS sebelum berakhir di Hangar Diraja Senai yang mengambil masa sejam.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melambai ke arah pembesar-pembesar negeri yang mengiringi Seri Paduka Baginda di Hangar DiRaja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai untuk berangkat ke Istana Negara, Kuala Lumpur. – Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, 31 Januari, 2024

Perisytiharan Sultan Ibrahim memegang jawatan mengulangi detik bersejarah paduka ayahanda Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 1984 hingga 1989.

Setiba di LTAS, Yang di-Pertuan Agong disambut pembesar-pembesar negeri, diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Sebelum rombongan diraja berangkat ke Kuala Lumpur menaiki pesawat peribadi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad memimpin bacaan doa, disusuli dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Kol (B) Datuk Mohamed Perang Musa.

Pesawat peribadi yang membawa Sultan Ibrahim ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, berlepas pada 9 pagi. – 31 Januari, 204

Topics

 

Hangat

Pembangkang minta tangguh perbincangan peruntukan Ahli Parlimen: Fadillah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin serta wakil parti pembangkang, telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan kepada minggu hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

Full trial for Sabah Law Society vs Putrajaya over state’s 40% grant

Federal Court dumps Attorney-General’s bid to stop the society’s judicial review against federal government over state’s revenue rights under the Malaysia Agreement 1963

Ipoh’s creative scene makes it to Unesco Creative Cities Network listing 

Perak’s capital city, Ipoh, can now boast of being the first city in Malaysia to have its media, arts, and music scene recognised by the United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation.

Related