Belum ada sebarang ketetapan isu cadangan wujud Beras Putih Malaysia Madani: Mat Sabu

Menurutnya, cadangan itu akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat Khas Naccol akan datang, malah pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada akta berkaitan

8:52 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat sebarang ketetapan berhubung cadangan mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan itu akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) akan datang, seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ingin menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman dibuat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

“Buat masa ini belum ada ketetapan dibuat ke atas cadangan beliau untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

“Sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat itu juga perlu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Syed Abu Hussin dilaporkan berkata, kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang akan dijual pada harga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) berkuat kuasa 19 Februari ini.

Serentak pengumuman itu, beliau memaklumkan, kategori beras putih tempatan atau dikenali sebagai super spesial tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan.

Beras terbabit, ujarnya, boleh didapati di pasaran mulai 1 Mac depan bagi memberi masa kepada pemain industri membuat penyelarasan dari segi pembungkusan dan pemasaran.

Katanya, cadangan mengenai penetapan harga siling itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan dipersetujui untuk dilaksanakan.

Susulan pengumuman Syed Hussin itu, beberapa pihak industri menggesa kerajaan memberi penjelasan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Sumber KPKM pula menegaskan, Beras Putih Malaysia Madani yang akan dijual pada harga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) itu hanya cadangan Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol). – 17 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Rumah agam Sharifah Aini dirobohkan, ada persoal mengapa kerajaan tidak jadikan muzium?

Rumah agam milik biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang selama ini menjadi lambang kemewahan anak seni tempatan yang benar-benar sukses dalam bidang nyanyian sedang dalam proses untuk dirobohkan.

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

FashionValet’s RM43.9 mil loss sparks public scrutiny over co-owner Vivy Yusof

Social media users demand explanation from Duck, Lilit founder on how Khazanah, PNB’s RM47 mil investment was managed

Related