Dakwa hak diwakili peguam dinafikan, Ratu Naga saman SPRM, kerajaan

Terdahulu, Tan Sri Azam Baki berkata, Syarul Ema tidak ditahan sebaliknya dipanggil untuk memberi keterangan oleh SPRM pada 16 Februari lalu

3:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas ahli PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjayanya dan kerajaan di Mahkamah Tinggi di sini.

Syarul Ema atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga memaklumkan tindakan itu diambil selepas haknya untuk diwakili peguam semasa disoal siasat SPRM pada 16 Februari lalu telah dinafikan.

Dia memfailkan saman pemula itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Februari lalu.

Syarul Ema memohon pengisytiharan mahkamah bahawa dia mempunyai hak perlembagaan di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan representasi undang-undang semasa disoal di bawah Seksyen (30)(1)(a) Akta SPRM 2009.

Dia juga memohon pengisytiharan bahawa penafian haknya mendapatkan peguam semasa disoal siasat oleh SPRM adalah menyalahi undang-undang dan melanggar haknya untuk kebebasan dan kesaksamaan di sisi undang-undang.

Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 12 Mac ini.

“Ok, hari ini Hari Wanita. Saya raikan dengan mengumumkan bahawa saya sudah saman Ketua Pesuruhjaya SPRM, (Tan Sri) Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Kenapa? Kerana mereka secara salah dan melanggar undang-undang, menafikan hak saya kepada peguam semasa saya disoal oleh SPRM tempoh hari.

“Ini hak semua kita di bawah Fasal 5 Perlembagaan Persekutuan. Saya saman untuk membela hak semua rakyat untuk mendapat representasi peguam dan menegakkan hak asasi kita dibawah Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 16 Februari lalu, media melaporkan Syarul Ema ditahan selepas SPRM menyerbu rumahnya di Jalan Klang Lama di sini, kira-kira jam 9.30 pagi.

Suaminya Ezad Zainal dilapor berkata, lima pegawai SPRM tiba di rumah mereka lalu menggeledah kira-kira 20 minit dan merampas telefon bimbit serta laptop.

Wanita itu kemudian dibawa menggunakan kenderaan SPRM ke Putrajaya malah pegawai tidak membenarkan suami dan peguam bertemu dengannya.

Penyedia kandungan media sosial itu bagaimanapun dilepaskan kira-kira jam 7 malam pada 17 Februari lalu selepas 10 jam ditahan.

Terdahulu, Azam berkata, Syarul Ema tidak ditahan sebaliknya dipanggil untuk memberi keterangan oleh SPRM pada 16 Februari lalu.

Katanya, aktivis politik itu disiasat berhubung dakwaan wanita itu menerima beberapa peratus hasil kutipan sumbangan yang diberikan kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Pada 30 Oktober lalu, Syarul Ema memberi keterangan kepada polis berkaitan hantaran dimuat naiknya didakwa berbaur fitnah terhadap isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan kehadiran wanita itu di Bukit Aman pada hari tersebut. – 8 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Squash ace Sivasangari breaks into world top 10

She has had a sterling tahun, including winning the London Squash Classic title in April

Tighten measures to combat online harm and cybercrimes – Derek Fernandez

With high rates of such issues, Malaysia still lacks digital sovereignty in terms of regulating these platforms particularly in holding themselves and users accountable

Proud to tell Sabah’s stories: Sandakan-based journalist bags four awards for Scoop

Two gold and two merits gives Rebecca Chong wins in four out of six English-language categories in the Kinabalu Press Awards 2024

Related