Anugerah Seni Boh Cameronian: 74 karya produksi dinilai bagi 37 subkategori dalam tarian, muzik, teater dan teater muzikal

Banyak perubahan dan kelainan yang cuba ditampilkan dalam karya-karya produksi ini sepanjang tahun lalu

10:46 PM MYT

 

PETALING JAYA – Sebanyak 37 pencalonan subkategori bagi kategori tarian, muzik, teater muzikal dan teater daripada 74 produksi yang bertanding pada edisi ke-19 Anugerah Seni Boh Cameronian (19BCAA), anjuran Kakiseni, sudah menjalani penilaian juri.

Antaranya bagi kategori Rekaan Kostum; Penataan Gaya dan Solekan Terbaik; Rekaan Tatacahaya Terbaik, Muzik dan Rekaan Bunyi Terbaik, Set dan/atau Rekaan Visual Terbaik; Persembahan Terbaik untuk Watak Pembantu, Persembahan Terbaik untuk Watak Utama dan Pengarah Terbaik.

Bagaimanapun kebanyakan pencalonan subkategori bagi kategori tarian, muzik, teater muzikal dan teater ini hanya dibolot beberapa karya produksi yang sama.

Misalnya, karya produksi Melur The Musical, Spooks, The Musical dan Once On This Island lebih banyak mendominasi subkategori bagi kategori teater muzikal.

Bagaimanapun karya produksi yang banyak mengungguli subkategori dalam kategori utama tidak menjanjikan bahawa mereka akan dicalonkan dalam kategori paling unggul, Best Of Category 2023 yang menghimpunkan karya-karya terbaik daripada kategori tarian, muzik, teater muzikal dan teater.

Bagi kategori paling unggul ini, karya-karya produksi yang tercalon adalah A Hen-Made Tale, The Musical, Dondang Dongeng, Fault Lines, Malam Takdir, Psycsynthesis an Switchblade Operation: The Longing.

Dalam pada itu, presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen berkata pihaknya melihat banyak perubahan dan kelainan yang cuba ditampilkan di dalam karya mereka sepanjang tahun lalu.

“Daripada proses penilaian yang kami lakukan menerusi barisan juri terbaik yang dipilih, kami lihat banyak perubahan dan kelainan yang cuba ditampilkan di dalam karya mereka sepanjang tahun lalu, yang mana lebih banyak pengalaman diri yang cuba diselitkan atau diterapkan.

“Sebelum ini mereka merasakan cerita mereka tidak begitu penting untuk dibawa ke pentas tetapi kini kita lihat artis dan penulis memahami bahawa cerita mereka juga perlu disampaikan,’’ katanya pada majlis pencalonan 19BCAA di Nero Event Space di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), hari ini.

Tema 19BCAA yang dipilih pada tahun ini iaitu Pentas Kehidupan: Meneroka Tanpa Batasan.

Menurut Ngai Yuen, tema itu dipilih untuk meraikan penerokaan kreativiti tanpa batas dalam komuniti seni persembahan.

“Dari yang biasa kepada yang luar biasa, pengalaman hidup kami berfungsi sebagai muse ultimate untuk inovasi dan imaginasi dan kami ingin mengiktiraf serta memberi penghormatan kepada kuasa transformatif seni serta kekayaan dan kerumitan pengalaman manusia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo berkata, penganjuran 19BCAA adalah sesuatu yang istimewa kepada Boh kerana ia bertepatan dengan ulang tahun mereka yang ke-95.

“Jika diimbas kembali, saya melihat terdapat banyak persamaan antara menyempurnakan seni pembikinan teh dan memajukan industri seni persembahan.

“Kedua-duanya memerlukan semangat yang tidak putus-putus dengan antusias yang kuat, dedikasi dan komitmen untuk menguasai kraf masing-masing,” katanya.

Malam kemuncak 19BCAA dijadual berlangsung pada 5 Mei ini. Senarai penuh pencalonan 19BCAA boleh dilihat menerusi pautan www.kakiseni.org/awards. – 18 Mac, 2024

Topics

 

Popular

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related