Elak provokasi kaum, rakyat wajib pertahan keamanan, keharmonian negara: Aaron

Aaron berkata, pihaknya percaya solidariti dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia, akan menjadi benteng utama menangani ancaman terhadap perpaduan serta keharmonian

1:59 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang tindakan serta berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan polemik perkauman.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, mereka juga diseru tidak melakukan perbuatan yang menggugat sensitiviti masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

“Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan keamanan dan keharmonian negara.

“Usaha ini boleh dilaksanakan dengan tidak melakukan perbuatan provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik serta kekacauan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, walaupun KPN tiada kuasa atau peruntukan khas seperti akta untuk mengambil tindakan dari segi perundangan, tetapi kementeriannya melalui Jabatan Perpaduan Negara (JPN) dan Integrasi Nasional (JPNIN), berperanan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan.

Katanya, antara mekanisme pengurusan isu perpaduan sedang dilaksanakan JPNIN adalah pengurusan dan pemantauan isu perpaduan di peringkat akar umbi melalui Sistem E-Sepakat yang bertujuan untuk gerak kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu perpaduan secara digital bagi menggantikan kaedah manual.

Mekanismes lain, ujarnya, adalah memperkenalkan Dashboard Analitik Perpaduan, sebagai menyokong sistem E-Sepakat dalam meningkatkan lagi kecekapan gerak kerja pengurusan isu keharmonian masyarakat, melalui pemetaan (mapping) kawasan berisiko tinggi (high-risk) dan panas (hot-spot) yang mampu mengganggu gugat keharmonian antara kaum dan agama.

“Turut dilaksanakan adalah Mediator Komuniti sebagai pendamai masyarakat, dengan memberi tumpuan kepada mengurus kes pertikaian di peringkat komuniti.

“Selain itu, Jawatankuasa Keharmonian antara penganut agama (Harmoni), iaitu sebuah jawatankuasa terdiri daripada pemimpin agama di Malaysia dengan tujuan memantapkan iklim perhubungan baik dalam kalangan pemimpin serta penganut pelbagai agama, berteraskan semangat saling hormat-menghormati dan bekerjasama di semua peringkat,” katanya.

Aaron berkata, atas faktor ketiadaan punca kuasa penguatkuasaan, KPN hanya memberikan fokus dari segi pemantauan isu perpaduan serta pelaksanaan program intervensi di kawasan berisiko tinggi, bagi meningkatkan interaksi serta integrasi antara rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Apabila muncul isu atau polemik 3R, bukan kata KPN tidak terlibat, tetapi KPN tidak ada kuasa penguatkuasaan, jadi hanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap pesalah melalui Akta Hasutan, Akta Mesin dan Cetak, Akta Polis, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya percaya solidariti dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia, akan menjadi benteng utama menangani ancaman terhadap perpaduan serta keharmonian negara.

“Keamanan negara dan perpaduan rakyat tanggungjawab bersama yang wajib dipikul kita semua,” katanya. – 8 April, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related