KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) didesak menjalankan siasatan telus dan penuh integriti berhubung kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh kenderaan milik pihak berkuasa itu.
Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) Negeri Melaka, Muhammad Haziq Mohd Nor Hishamudin berkata, siasatan berkenaan penting agar ahli keluarga remaja lelaki itu mendapat keadilan sewajarnya.
Tegasnya, jika terbukti bersalah, anggota polis terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.
“Berdasarkan laporan PDRM, insiden di Jalan Gangsa–Kesang, Durian Tunggal tersebut berlaku ketika anggota polis dari Balai Polis Durian Tunggal sedang melaksanakan tindakan pencegahan aktiviti, dipercayai lumba haram motosikal di kawasan persimpangan lampu isyarat Gangsa selepas menerima aduan awam.
“Namun, berdasarkan klip video tular, mangsa yang baru pulang dari tempat kerja dirempuh sebuah kenderaan PDRM yang memasuki simpang secara melulu tanpa menyalakan lampu isyarat.
“Jika terbukti bersalah, anggota yang terlibat perlulah dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, semua anggota PDRM dimohon menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi.
“Anggota polis perlu bertugas berdasarkan segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan PDRM, selain tidak melakukan sebarang tindakan berdasarkan emosi semasa agar insiden tidak diingini seperti ini, tidak berlaku lagi,” katanya.
Menurut Haziq yang juga Ahli Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang dan Integriti Parlimen Belia Malaysia, beliau menasihati dan menyarankan supaya belia memanfaatkan musim Aidilfitri dengan melakukan aktiviti bermanfaat.
“Luangkan masa bersama ahli keluarga dan ziarah-menziarahi sanak saudara serta rakan-rakan.
“Saya memohon belia menjauhkan diri daripada aktiviti merosakkan akhlak seperti merempit dan berlumba haram agar insiden tidak diingini seperti ini, tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 40 saat memaparkan seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka selepas dipercayai merempuh kenderaan polis dalam rondaan Op Cegah Lumba Haram di Jalan Gangsa-Kesang, Durian Tunggal di sini pada awal 1 Syawal, semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dalam kejadian jam 2.56 pagi itu, mangsa Mohammad Khairul Basahri, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC meninggal dunia akibat kecederaan dalaman, selain patah kaki dan paha dalam kejadian 2.56 pagi itu.
Ujarnya, mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Melaka sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad unit rawatan rapi hospital itu pada 12.37 tengah malam tadi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian. – 11 April, 2024