Kes simbah asid Faisal Halim: Sultan Selangor mahu siasatan turut menjurus penglibatan samseng bola sepak

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan

11:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu siasatan polis ke atas insiden simbahan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim turut merangkumi kemungkinan penglibatan kegiatan kumpulan berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.

Baginda selaku Penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sebagai Pengerusi Selangor FC, mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral itu.

Justeru Sultan Sharafuddin mahu polis menyiasat kejadian ini ke akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap dengan segera.

“Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan.

“Baginda khuatir jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang,’’ demikian titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah hari ini.

Dalam kejadian hari ini, Faisal cedera disimbah cecair dipercayai asid ketika pemain bola sepak kebangsaan itu berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, dekat sini.

Ia merupakan kejadian kedua melibatkan pemain bola sepak negara dengan kes pertama berlaku ke atas pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, yang cedera di kepala apabila disamun di Kuala Terengganu.

Pemain kelahiran Kedah itu kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri selain menanggung kerugian hampir RM5,000.

Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin turut mendoakan agar Faisal kembali sihat seperti sediakala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC.

Baginda turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberi kerjasama dengan pihak polis. – 5 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Pembangkang minta tangguh perbincangan peruntukan Ahli Parlimen: Fadillah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin serta wakil parti pembangkang, telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan kepada minggu hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

Ipoh’s creative scene makes it to Unesco Creative Cities Network listing 

Perak’s capital city, Ipoh, can now boast of being the first city in Malaysia to have its media, arts, and music scene recognised by the United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation.

Full trial for Sabah Law Society vs Putrajaya over state’s 40% grant

Federal Court dumps Attorney-General’s bid to stop the society’s judicial review against federal government over state’s revenue rights under the Malaysia Agreement 1963

Related