Disiplin tinggi jemaah Malaysia faktor Makkah Route dikekalkan

Menerusi Makkah Route, yang diperkenalkan pada 2017, jemaah haji Malaysia tidak perlu menunggu lama setibanya di tanah suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam Arab Saudi telah diselesaikan di KLIA

12:02 PM MYT

 

SEPANG – Pelaksanaan inisiatif Makkah Route untuk kali keenam membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan pihak Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi haji yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, tahap disiplin tinggi dalam kalangan jemaah haji negara turut menjadi penyumbang kepada faktor pemilihan Malaysia untuk pelaksanaan Makkah Route, inisiatif yang telah banyak membantu mempermudahkan urusan jemaah haji negara.

Beliau berkata, setelah melalui penerbangan selama lapan jam, jemaah haji Malaysia tidak perlu menunggu lama setibanya di tanah suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam Arab Saudi telah diselesaikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kerajaan Malaysia amat berbesar hati dan menghargai kepercayaan diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana sekali lagi dipilih bagi musim haji tahun ini untuk menyertai program Makkah Route di samping enam negara lain iaitu Indonesia, Maghribi, Pakistan, Bangladesh, Ivory Coast dan Turkiye.

“Pemilihan Malaysia sekali lagi pada tahun ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan,” katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Makkah Route bagi Musim Haji 1445H/2024M, di sini malam tadi.

Menurut Mohd Na’im, disiplin tinggi jemaah haji negara antara faktor Malaysia kekal dalam program Makkah Route buat tahun keenam. – Gambar Tabung Haji, 22 Mei, 2024

Turut hadir, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman serta barisan Pengurusan Kanan TH.

Sementara itu, Mesaad Ibrahim berkata, beliau berharap program Makkah Route itu dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang sebagai tanda hubungan begitu rapat antara Arab Saudi dan Malaysia.

Syed Hamadah pula berkata, pelaksanaan Makkah Route telah meletakkan pengurusan haji TH di tahap yang cemerlang kerana ia ternyata memudahkan urusan jemaah haji dan itu dapat dilihat melalui peningkatan indeks kepuasan pelanggan.

“Pihak TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang menyambut baik usaha memperkukuhkan hubungan dua hala ini dan diharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan para Dhuyufurrahman,” katanya.

Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim berharap program Makkah Route yang diperkenalkan pada 2017 dapat diteruskan untuk tahun-tahun berikutnya sebagai tanda hubungan rapat antara Arab Saudi dan Malaysia. – Gambar Tabung Haji, 22 Mei, 2024

Malaysia merupakan negara pertama di dunia diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Arab Saudi melaksanakan Makkah Route melalui program perintisnya pada 2017.

Ia kemudian diteruskan dengan program penuh pada 2018, 2019, 2022 dan 2023.

Sebanyak 353 bakal haji dari kumpulan ke-38 berlepas ke tanah suci dari sini menaiki penerbangan Saudi Airlines SV 5013 pada 2.15 pagi tadi.

Setakat ini, hampir 11,000 jemaah haji Malaysia sudah tiba di tanah suci melalui proses Makkah Route.

Terdapat 100 penerbangan sewa khas bagi Musim Haji 1445H/2024M yang telah bermula pada 9 Mei lepas dan penerbangan akhir dijadualkan pada 9 Jun ini. – 22 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Pembangkang minta tangguh perbincangan peruntukan Ahli Parlimen: Fadillah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin serta wakil parti pembangkang, telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan kepada minggu hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

Full trial for Sabah Law Society vs Putrajaya over state’s 40% grant

Federal Court dumps Attorney-General’s bid to stop the society’s judicial review against federal government over state’s revenue rights under the Malaysia Agreement 1963

Ipoh’s creative scene makes it to Unesco Creative Cities Network listing 

Perak’s capital city, Ipoh, can now boast of being the first city in Malaysia to have its media, arts, and music scene recognised by the United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation.

Related