Hampir 100,000 kenderaan memasuki LPT dalam tempoh dua hari Ops Hari Raya Aidiladha

Sebanyak empat kematian melibatkan kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh dua hari operasi di Terengganu yang bermula pada 14 hingga 17 Jun

4:38 PM MYT

 

KUALA NERUS – Sebanyak 91,700 kenderaan menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang dua hari pelaksanaan Op Lancar Hari Raya Aidiladha 2024.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, terdapat pertambahan kemasukan antara 40 hingga 60% kenderaan pada 14 dan 15 Jun lepas berbanding pada hari biasa namun aliran trafik masih lancar.

Beliau berkata, 50 anggota trafik dari kontinjen Terengganu ditugas mengawal lalu lintas dengan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Aliran trafik sempena perayaan Aidiladha ada sedikit tambahan. Biasa 20,000 kenderaan sehari tetapi setakat hari ini dah lebih 50,000.

“Bagaimanapun aliran trafik masih lancar dan stabil. Semalam jumlah kenderaan memuncak, tetapi setakat hari ini terkawal,” katanya ketika meninjau aliran trafik LPT2 di Plaza Tol Kuala Terengganu, di Gemuruh, dekat sini hari ini.

Menurut Mohd Khairi, aliran trafik sempena sambutan Aidiladha ada sedikit peningkatan berbanding kebiasaan 20,000 kenderaan sehari, di mana lebih 50,000 kenderaan dicatatkan setakat ini. – Gambar ihsan Polis Terengganu, 16 Jun, 2024

Mohd Khairi berkata, sebanyak empat kematian melibatkan kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh dua hari Op Lancar di Terengganu yang bermula pada 14 hingga 17 Jun.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan satu kes berbanding tiga kes yang direkod sepanjang Op Lancar 2023.

“Oleh itu saya nak ingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika memandu. Sentiasa peka dengan papan tanda di LPT bagi mengelak sebarang kecelakaan,” katanya.

Sementara itu Pengurus Wilayah LPT2 Suhaimi Samat berkata, tiga lorong tambahan dibuka dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuala Terengganu bagi memastikan kelancaran trafik.

Katanya, pihak LPT2 menjangkakan terdapat pertambahan trafik antara 45,000 hingga 60,000 kenderaan pada musim perayaan Aidiladha tahun ini. – 16 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Pembangkang minta tangguh perbincangan peruntukan Ahli Parlimen: Fadillah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin serta wakil parti pembangkang, telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan kepada minggu hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

Ipoh’s creative scene makes it to Unesco Creative Cities Network listing 

Perak’s capital city, Ipoh, can now boast of being the first city in Malaysia to have its media, arts, and music scene recognised by the United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation.

Full trial for Sabah Law Society vs Putrajaya over state’s 40% grant

Federal Court dumps Attorney-General’s bid to stop the society’s judicial review against federal government over state’s revenue rights under the Malaysia Agreement 1963

Related