KUALA LUMPUR – Pemilik ekuiti minoriti tidak ada kuasa menentukan keputusan terakhir mana-mana syarikat.
Demikian tegas Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan, bagi membetulkan persepsi pembangkang khususnya seorang wakil rakyat yang didakwa akan mengemukakan usul meminta kerajaan menarik semula keputusan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastrukcture Partners (GIP).
Malah Ammar mendakwa, wakil rakyat berkenaan dilihat tidak memahami konsep majoriti-minoriti dalam hal pegangan ekuiti korporat.
Katanya, ada beza pemilikan terus BlackRock dalam syarikat tersenarai tempatan dan pegangan tidak langsungnya dalam MAHB (selepas penswastaan MAHB selesai).
Hakikatnya jelas beliau, sama ada 5% atau 25% pemilikan saham, ia tetap pegangan minoriti.
“Pemilik ekuiti minoriti tidak ada kuasa menentukan keputusan terakhir mana-mana syarikat. Dalam konteks MAHB, kerajaan akan memiliki 70%. Pegangan ekuiti (bakal) oleh Global Infrastructure Partners (GIP) adalah jauh lebih rendah. Undi 70% kerajan akan mengalahkan undi 25% GIP,” katanya dalam kenyataan.
Ammar memberitahu, paling penting, kerajaan akan terus memiliki ‘golden share’ dalam MAHB dan ia bermakna kerajaan memiliki kuasa paling utama iaitu veto.
“Kesimpulannya, BlackRock sudah lama memiliki saham minoriti dalam syarikat-syarikat di Bursa Malaysia. Pegangan tidak langsung menerusi GIP dalam MAHB juga adalah sama.
“Pakatan Harapan (PH) menerima baik komitmen GIP yang telah dinyatakan secara terbuka baru-baru ini bahawa BlackRock tidak akan campur tangan dalam pengurusan GIP dan pengurusan semasa GIP akan mengekalkan kuasa penuh terhadap hala tujunya,” katanya.
Tambah beliau, ketika ini, BlackRock masih belum menyelesaikan pembelian ekuitinya dalam GIP.
Justeru katanya, keputusan Khazanah Nasional bekerjasama dengan GIP tidaklah bersandarkan BlackRock.
Sebelum ini, seorang wakil rakyat pembangkang dilapor akan mengemukakan usul meminta kerajaan menarik semula keputusan penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP.
Usul itu dikemukakan di Dewan Rakyat dibawah Peraturan Mesyuarat 18(1) & 18(2) sebagai usul tergempar.
Baru-baru ini, GIP yang dimiliki Blackrock, firma pelaburan yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) menjelaskan syarikat itu tidak terlibat dalam usaha menswastakan MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA).
Ketua Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA, Phil Iley berkata, pada Januari 2024 diumumkan bahawa GIP telah diambil alih oleh BlackRock dengan urus niaga itu dijangka selesai pada suku ketiga 2024. – 24 Jun, 2024