KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, disahkan sebagai teman lelakinya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan susulan siasatan yang dilakukan berhubung kehilangan mangsa sejak Rabu lalu.
“Berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam,” katanya.
Hussein bagaimanapun memaklumkan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes kematian bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.
Semalam, mayat Farah ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit dekat Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada jam 6 petang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Farah dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim kira-kira jam 8 pagi pada 10 Julai lalu.
Kali terakhir dilihat, Farah yang berasal dari Miri, Sarawak itu memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar hitam.
Kehilangannya mencetuskan kebimbangan ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa, apatah lagi Farah disifatkan seorang pekerja yang komited dan tidak pernah mencetuskan apa-apa masalah sepanjang bekerja di syarikat perkhidmatan kereta sewa itu.
Malah abang Farah iaitu Mohammad Fariza Abdullah yang menetap di Kuala Lumpur, datang ke Tanjung Malim bersama isterinya bagi membuat laporan di Balai Polis Tanjung Malim bersama pihak pengurusan tempat adiknya bekerja. – 16 Julai, 2024