Semua ugutan, penghinaan suruh cari tin Milo banyak-banyak diterima dengan lafaz Alhamdulillah: Adun Rembia

Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwanya perlu membayar denda RM100 juta kepada parti itu disifatkan sebagai satu bentuk ugutan

5:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis tidak gentar dengan tindakan Umno yang akan memfailkan tuntutan terhadap beliau kerana menyertai PAS selepas digantung keahlian daripada parti itu.

Sebaliknya, beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwanya perlu membayar denda RM100 juta kepada parti itu disifatkan sebagai satu bentuk ugutan.

“Semua ugutan dan penghinaan suruh cari tin Milo banyak-banyak, saya terima dengan lafaz Alhamdulillah,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Asyraf yang menegaskan dirinya dikenal pasti melanggar Perjanjian Perwakilan Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Melaka yang ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah dan saksi.

Asyraf berkata, Muhammad Jailani juga dikenal pasti membuat pelanggaran ke atas akuan bersumpah (SD) ditandatangani beliau yang menetapkan setiap calon mewakili BN perlu membayar RM100 juta seperti dinyatakan pada fasal 6.2, jika melompat parti atau bertukar haluan daripada menyokong BN, Umno, MIC dan/atau MCA, termasuk menjadi Adun Bebas.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, beliau bersedia menjawab segala persoalan dilontarkan terhadapnya termasuk tuntutan ganti rugi di mahkamah oleh Umno berhubung tindakannya menyertai PAS.

“Saya bersedia mendedah dan menentang setiap taktik buruk Umno yang tidak selari undang-undang dan tidak berperlembagaan demi untuk kebaikan ramai lagi ahli yang lain.

“Saya bersedia membersihkan ini di mahkamah,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila diminta menjelaskan apa dimaksudkan ‘taktik buruk Umno’ dan ‘tidak selari undang-undang’ itu.

Selasa lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan mengumumkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam Umno, sah menyertai parti itu.

Takiyuddin dilaporkan berkata, kemasukan Muhammad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023.

Umno tahun lalu dilapor menggantung keahlian Muhammad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor. – 20 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Lelaki mabuk cuba rampas senjata api polis, keluarkan kata-kata kesat direman empat hari

Kejadian bermula pada jam 4 pagi tadi apabila anggota bertugas didatangi seorang lelaki warga tempatan yang berada di bawah pengaruh alkohol.

Seeing double in Kuala Kubu Baharu: Pang and twin greet voting twins

DAP hopeful in high spirits as voters in Selangor state seat head to polls

Related