Berhabis ‘duit poket’ demi penjagaan, emosi kucing

Penjagaan kucing tidaklah mudah seperti yang disangka, malah lebih mencabar untuk kucing-kucing daripada baka campuran

3:33 PM MYT

 

SHAH ALAM – Bukan sedikit ‘duit poket’ yang terpaksa dikorbankan untuk memelihara kucing dengan rupa paras yang cantik, berbulu tebal dan tidak mudah gugur serta aktif dan sihat.

Namun bagi penggemar kucing, ia adalah sesuatu yang berbaloi bagi memastikan kebajikan haiwan kesayangan mereka terpelihara.

Memelihara kucing dengan rupa paras yang cantik, berbulu tebal dan tidak mudah gugur serta aktif dan sihat, bukan sedikit duit poket yang perlu dikorbankan – Abdul Razak Latif/Scoop, 27 Julai, 2024

Kos-kos seperti mandi, penjagaan bulu, kuku dan kesihatan dalaman serta luaran serta ‘maintenance’ lain boleh mencecah ratusan ringgit sebulan, jika dilakukan di spa-spa atau pusat jagaan serta rawatan kucing.

Itu belum lagi dicampur dengan kos makanan yang kini memiliki pelbagai variasi.

Taman Rekreasi Kucing Catopia adalah sebuah taman mini yang menggabungkan elemen permainan untuk kucing seperti kolam air pancuran, jambatan gantung, serta terowong laluan bagi ‘si bulu’ bergerak aktif, khususnya yang ‘terkurung’ di kediaman pemiliknya – Abdul Razak Latif/Scoop, 27 Julai, 2024

Ia diakui pekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat, Nurulfarahina Baharudin, 29, yang menyifatkan penting bagi pemilik kucing memastikan haiwan peliharaan itu mendapat rawatan yang mencukupi.

“Penjagaan kucing tidaklah mudah seperti yang disangka, malah lebih mencabar untuk kucing-kucing daripada baka campuran. Perlu juga untuk bawa mereka berjalan-jalan,” katanya.

Nurulfarahina berkata, dia menghabiskan sekitar RM200 untuk perbelanjaan bulanan bagi penjagaan kucing.

“Untuk yang baru nak jaga kucing, perlu fikirkan juga kos maintenance. Kita perlu sikat selalu bulu mereka dan kena rajin.

Nurulfarahina Baharudin menyifatkan penting bagi pemilik kucing memastikan haiwan peliharaan itu mendapat rawatan yang mencukupi – Gambar Scoop, 27 Julai, 2024

“Saya bela dua ekor kucing baka campuran Parsi dan Maine Coon. Semakin banyak baka campuran, semakin kompleks penjagaannya. Contohnya, kucing Parsi akan jilat bulu dan muntahkan kembali dalam bentuk gumpalan, tak semua orang boleh tahan.

“Untuk baka jenis campuran lebih susah untuk dijaga. Kadar pertumbuhan bulu kucing juga agak laju, iaitu sekitar tiga ke empat minggu sebelum kembali kepada panjang asal. Caj untuk potong bulu kucing sekitar RM50 sekali, dan untuk ‘lion cut’ pula sekitar RM100.

“Mula-mula saya rasa agak banyak habis untuk penjagaan mereka, tapi lama-lama tengok mereka gembira dan sihat jadi rasa puas dengan perbelanjaan,” katanya.

Namun bagi Azrina Samsudin, 45, yang merupakan seorang suri rumah, biarpun ada tambahan kos untuk memelihara kucing, ia tidak membebankan kerana haiwan itu peneman utama ketika di rumah dan penting baginya untuk memastikan kucing-kucing peliharaannya dalam keadaan yang sihat.

Azrina Samsudin berkata, biarpun ada tambahan kos untuk memelihara kucing, ia tidak membebankan kerana haiwan itu peneman utama ketika di rumah – Gambar Scoop, 27 Julai, 2024

“Anak-anak semua sudah sambung belajar, jadi kucing-kucing ini menjadi pengganti sebagai peneman di rumah. Sesekali nak juga bawa kucing berjalan-jalan di luar,” katanya yang ditemui di Catopia di Shah Alam.

BUKAN SEKADAR DUIT, TAPI EMOSI KUCING

Dalam pada itu, Wan Khairul Mustapa, 30, pula berkata, setiap tahun dia akan menghantar kucing peliharaannya mengambil vaksin untuk memastikan haiwan itu bebas daripada penyakit.

“Sekitar RM100 ke RM150 untuk vaksin. Mula jaga kucing dari 2019, perbelanjaan bulanan mencecah RM500, untuk makanan sahaja sekitar RM150. Sesetengah kucing mempunyai masalah kesihatan dan perlu diberi makanan yang lebih mahal dan sesuai.

“Sebagai pencinta kucing, kalau boleh kita nak jaga sebaik yang mungkin kerana sudah anggap seperti anak sendiri,” katanya.

Wan Khairul Mustapa pula akan menghantar kucing peliharaannya mengambil vaksin setiap tahun untuk memastikan haiwan itu bebas daripada penyakit – Gambar Scoop, 27 Julai, 2024

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya yang tinggal di kawasan pangsapuri, kebanyakan kawasan tidak membenarkan haiwan peliharaan berkeliaran di luar rumah.

“Sesetengah pihak pengurusan di kawasan perumahan tidak membenarkan pemilik kucing membawa kucing bermain di luar kawasan rumah sebab takut fasiliti dirosakkan kucing. Jadi terpaksalah biarkan kucing bermain di dalam rumah sahaja.

“Fasiliti di sini (Catopia) juga sesuai dan tempat ini mudah diakses, tempat letak kenderaan pun banyak,” katanya.

Katanya, dengan adanya kawasan yang sesuai untuk membawa haiwan peliharaan berjalan-jalan, pemilik kucing boleh memastikan kucing tidak berasa terkurung di tempat tertutup.

Untuk itu, seorang pemilik kucing jenis Bengal, Nur Azreen Mohd Azmi, 23, berkata, taman berkenaan menyediakan kemudahan yang selamat dan selesa untuk kucing.

Nur Azreen Mohd Azmi berkata, taman rekreasi kucing seperti Catopia memberi peluang kepada pemilik kucing untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dengan pemilik kucing lain – Sairien Nafis/Scoop, 27 Julai, 2024

“Sangat seronok sebab tidak biasa bawa kucing saya keluar. Jadi, di situ kita boleh lihat reaksi kucing apabila dia berada di luar.

“Di sini juga orang ramai boleh datang untuk tengok pelbagai jenis kucing. Dengan adanya kawasan permainan seperti ini, kucing-kucing boleh bermain dan bergurau dengan kucing lain,” katanya.

Menurutnya, kawasan tersebut juga memberi peluang kepada pemilik kucing untuk bertemu dan berkongsi pengalaman dengan pemilik kucing lain. – 27 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Related