KUALA LUMPUR – ‘Lawan tetap lawan, kawan tetap kawan, ukhuwah dijaga, Islam perjuangan kami’…
Itu tanda pagar dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran foto di Facebook yang memaparkan beliau duduk bersebelahan beberapa pemimpin PAS, termasuk Naib Presiden parti berkenaan, Datuk Idris Ahmad.
Foto itu diambil pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, meskipun berbeza parti politik, hubungan antara beliau dan pemimpin PAS adalah baik.
Malah, hubungan baik itu kekal terjalin sejak dulu hingga ke hari ini.
“Kami ok je. Tak pernah terputus silaturahim,” katanya.
Menurutnya, beliau juga saling berbalas mesej bertanya khabar dengan pemimpin PAS.
“Berbeza hanya soal politik kepartian bukan soal aqidah mahupun prinsip asas keagamaan,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen hantaran itu, rata-rata netizen memuji hubungan baik antara pemimpin kedua-dua parti utama negara berkenaan, selain menunjukkan sikap matang mereka dalam berpolitik.
“Itu yang terbaik, harap orang bawahan boleh ikut cara matang pemimpin berpolitik,” kata Zuhriah Shams.
“Yes (ya) betul sangat Datuk Asyraf Wajdi Dusuki…Silaturahim itu penting…Jangan taksub sampai putus kawan, putus saudara,” tulis Zarra Bakar.
“Bila tengok kita bersatu, ini cantik rasa,” ujar Mohamad Shahrul Nizam Bin Mokthar.
PRK DUN Nenggiri yang bermula hari ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Pegawai Pengurus PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud mengumumkan pencalonan rasmi itu sebaik sahaja tempoh proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi tadi.
BN menamakan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai ‘ayam tambatan’ mereka untuk merampas kerusi DUN itu, bagi mewakili Kerajaan Perpaduan.
PAS pula mempertaruhkan bekas Timbalan Ketua Pemuda Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, 41.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan.
Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu. – 3 Ogos, 2024