Pegawai kadet UPNM mengaku tidak bersalah tekap seterika pada pelatih junior

Tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan didakwa melakukan perbuatan berkenaan di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras pada 11.45 malam, 22 Oktober lalu

12:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior, pada 22 Oktober lalu.

Tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Egusra Ali.

Mengikut pertuduhan, Amirul, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap yang panas di akademi berkenaan di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras di sini pada 11.45 malam, 22 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berikutan jenis dan keseriusan kesalahan yang didakwa.

“Kes ini melibatkan kepentingan awam yang akan menjadi panduan kepada masyarakat terutama pelajar yang membuli pelajar lain dihukum dengan hukuman berat, tetapi ikat jamin tinggi dapat memastikan semua pihak terutama tertuduh dan penjamin tidak memandang rendah peruntukan undang-undang yang membenarkan kesalahan dalam kategori non-bailable offence.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh tidak mendekati saksi-saksi (pendakwaan) bagi tujuan berhubung untuk membincangkan kes ini. Saksi-saksi dalam kes ini ialah rakan seasrama tertuduh, pegawai dan jurulatih UPNM,” katanya.

Bagaimanapun, Amirul Iskandar yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan ibu bapanya pesara kerajaan.

“Saya masih lagi belajar dan berjanji setiap perbicaraan saya akan hadir,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin dan 27 Disember untuk sebutan semula kes.

Mengikut laporan media, kejadian dipercayai berlaku di bilik asrama UPNM pada kira-kira jam 11.45 malam, 22 Oktober selepas suspek berumur 22 tahun yang juga penuntut senior tahun empat UPNM meminta mangsa menggosok baju kerja miliknya.

Tiba-tiba senior terbabit mengambil seterika dipegang mangsa sebelum menekap di bahagian pada sebelah kanan sebanyak satu kali.

Tindakan pelajar senior itu menyebabkan mangsa terkejut dan menjerit serta menyebabkan kecederaan melecur.

Beberapa pelajar senior lain dikatakan turut berada di dalam bilik yang sama ketika kejadian.

Sebelum ini kejadian buli turut berlaku di UPNM pada 2017 melibatkan kematian seorang pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Berikutan itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan. – 8 November, 2024

Topics

 

Hangat

Sambutan Hari Merdeka yang cukup luar biasa, PM zahir penghargaan pada semua

Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semangat merdeka rakyat itu akan terus diperkukuh dan tersemat jitu di setiap sanubari segenap lapisan masyarakat.

Smoking products bill to be tabled this Dewan session, says Zaliha

The Health Ministry has assured that the Control of Smoking Products for Public Health Bill 2023 will be tabled before the end of the Dewan Rakyat session, which is ongoing until November 30.

National football legend Khalid Ali dies at 66

The Football Association of Malaysia (FAM) announced Khalid’s death in a Facebook post today, which said that he had been fighting lung cancer for nearly a year.

Related