Peletakan jawatan Ahmad Samsuri sebagai bendahari agung PN amaran awal PAS pada Bersatu: Umno

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidi berkata ia menggambarkan pergolakan dan krisis antara Bersatu dengan PAS semakin jelas

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bendahari agung Perikatan Nasional (PN) merupakan amaran awal yang diberikan PAS kepada Bersatu supaya berpijak di bumi nyata.

Menurut Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, ia juga menggambarkan pergolakan dan krisis antara Bersatu dengan PAS semakin jelas.

Malah ia juga menunjukkan kekuatan Bersatu sangat diragui dalam gabungan berkenaan.

“Seumpama amaran awal telah diberikan oleh PAS terhadap Bersatu untuk berpijak di bumi yang nyata.

“Ia merupakan petanda bahawa ‘locus standi’ Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu sebagai ‘poster boy’ untuk jawatan Perdana Menteri bagi PN semakin tergugat,’’ katanya ketika dihubungi Scoop.

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang mengunci mulut mengenai peletakan jawatan sebagai bendahari agung PN.

Malah pemimpin-pemimpin PAS tidak mengetahui sebab sebenar Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS melepaskan jawatan itu dan ia dilaporkan berlaku di luar pengetahuan parti.

Pada Sabtu, Perikatan Nasional juga berdepan tamparan apabila Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar dari gabungan tersebut.

Menurut presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee, keputusan itu dibuat pada 23 November lalu dalam mesyuarat tertinggi SAPP dan ia telah dimaklumkan kepada ibu pejabat PN bulan lepas.

Jelasnya, tindakan terbabit diambil susulan keputusan PN yang ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sedangkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya akan ditandingi oleh parti-parti tempatan.

Sementara itu, peletakan jawatan Ahmad Samsuri juga mengejutkan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang menyifatkan tindakan itu sebagai satu perkara serius.

Bercakap kepada Scoop, beliau berkata perkara berkenaan tidak pernah dibawa untuk perbincangan dengan kepimpinan PAS sebelum ini.

“Kita akan dengar pandangan, kerana perkara ini besar, tindakan Dr Sam (Ahmad Samsuri) melepaskan jawatan bendahari PN itu satu perkara yang serius.

Hubungan PAS dan Bersatu sebelum ini sedikit tegang susulan kontroversi mengenai calon yang lebih layak diangkat sebagai Perdana Menteri daripada gabungan PN.

Ia berikutan kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyifatkan Muhyiddin sebagai calon tepat bagi jawatan itu, namun disanggah Hashim yang berpandangan calon daripada parti Islam itu lebih layak.

Polemik berhubung jawatan itu berterusan selepas Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan supaya Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN. – 15 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Pembangkang minta tangguh perbincangan peruntukan Ahli Parlimen: Fadillah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin serta wakil parti pembangkang, telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan kepada minggu hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

Ipoh’s creative scene makes it to Unesco Creative Cities Network listing 

Perak’s capital city, Ipoh, can now boast of being the first city in Malaysia to have its media, arts, and music scene recognised by the United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation.

Full trial for Sabah Law Society vs Putrajaya over state’s 40% grant

Federal Court dumps Attorney-General’s bid to stop the society’s judicial review against federal government over state’s revenue rights under the Malaysia Agreement 1963

Related