Dr Wan Azizah gesa siasatan menyeluruh kematian kucing di UM

Siasatan yang dilaksanakan akan mengambil kira semua fakta kes terutamanya penemuan kesan bahagian tubuh kucing yang seperti dipotong, kata isteri Perdana Menteri

7:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa tindakan serta-merta dan siasatan menyeluruh dilaksanakan, untuk mengenal pasti punca kematian kucing yang ditemukan dalam keadaan ngeri di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri mengecam sekeras-kerasnya kelakuan penganiayaan terhadap haiwan berkata siasatan itu perlu, bagi memastikan insiden yang bertentangan nilai kemanusiaan dan melanggar undang-undang, tidak berulang.

“Siasatan teliti yang dilaksanakan akan mengambil kira semua fakta kes terutamanya penemuan kesan bahagian tubuh kucing yang seperti dipotong,” katanya yang turut menyuarakan kebimbangan dan rasa terkejut dengan insiden menyayat hati itu.

Dr Wan Azizah berkata demikian menerusi kenyataan dibacakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di sini hari ini. 

Beliau juga menggesa UM meningkatkan peranan dan keberkesanan entiti Universiti Malaya Animal Guardians yang ditubuhkan pada Ogos lepas, dengan melibatkan pihak mempunyai kepakaran seperti persatuan pencinta haiwan serta polis.

Pada sidang media itu, Azman yang juga Penaung Persatuan Rakan Kucing Malaysia berkata pihaknya   khuatir insiden itu boleh membawa kepada masalah lebih besar pada masa akan datang, jika kejadian yang berlaku tidak disiasat secara terperinci.

Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Dr Arie Dwi Andika yang juga Penganalisis Jenayah Haiwan daripada Malaysia Animal Law and Operational Security Compliance (MALOSC) berkata Akta Kebajikan Haiwan 2015 boleh digunakan, jika terdapat elemen jenayah melibatkan perlakuan manusia dalam kejadian itu kerana berpandangan kematian itu tidak disebabkan serangan hidupan liar.

Di Putrajaya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menerusi kenyataan mengesahkan menerima aduan dua kejadian berasingan berkaitan kematian kucing didakwa berlaku di beberapa lokasi dalam universiti tersebut.

Aduan pertama pada 17 Dis, melibatkan kejadian di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, namun Pasukan Unit Kebajikan Haiwan DVS Wilayah Persekutuan yang menjalankan siasatan pada hari sama dimaklumkan oleh pengurusan UM bahawa kejadian sebenar ialah pada 12 Dis dan bangkai kucing telah ditanam.

“Pihak pengurusan universiti memaklumkan tiada saksi melihat kejadian dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) pada bangunan itu. Pemeriksaan terhadap bangkai kucing yang digali menunjukkan bangkai sudah terurai dan tidak boleh dilakukan bedah siasat bagi mengesahkan kejadian sebenar,” menurut kenyataan itu. 

Aduan kedua pada 20 Dis pula melibatkan kematian empat kucing di lokasi berbeza sekitar kampus, namun siasatan pada hari sama tidak menjumpai sebarang karkas, darah atau apa-apa bukti berkaitan kematian kucing yang dilaporkan.

DVS memaklumkan maklumat daripada pengurusan keselamatan UM menyatakan bangkai kucing tersebut didakwa telah dihantar ke klinik veterinar yang tidak dikenal pasti oleh wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), namun pasukan penyiasat gagal mendapatkan maklumat daripada wakil tersebut pada hari itu.

DVS menyeru mereka yang mempunyai maklumat kezaliman haiwan membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa veterinar di awa.dvs.gov.my, agar tindakan dapat diambil selaras dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

Semalam, pengurusan UM memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung insiden kematian kucing sekitar kampus universiti bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut dan memastikan tindakan diambil jika terdapat unsur penganiayaan. – 21 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Leaked gas vapours easily ignited, leading to massive explosion in Putra Heights: fire expert

KUALA LUMPUR – The gas pipeline fire in Putra Heights, Subang Jaya, today is believed to have been caused by a “boiling liquid expanding vapour explosion” (BLEVE), according to a retired senior...

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related