Umno tak perlu ‘go solo’ teruskan kerjasama dengan PH: penganalisis politik

BN dan PH sekarang sudah elok dalam sebuah gabungan maka gunakan juga platform ini untuk kerjasama politik dalam PRU16 akan datang, kata penganalisis politik

12:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu ‘go solo’ dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebaliknya menggunakan platform sedia ada untuk meneruskan kerjasama politik bersama gabungan Pakatan Harapan (PH).

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, Umno hari ini sedang dalam fasa pemulihan menerima sokongan orang Melayu dan ini terbukti dengan kemenangan majoriti besar di beberapa pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota.

“Tak perlu go solo, BN dan PH sekarang sudah elok dalam sebuah gabungan maka gunakan juga platform ini untuk kerjasama politik dalam PRU16 akan datang.

“Siapa sangka Umno yang sudah lama berseteru dengan DAP boleh berkerjasama dalam sebuah kerajaan hari ini. Bila dah cuba berjaya. Politik Malaysia hari ini dinamik dan tidak lagi terikat dengan amalan politik lama,” katanya kepada Scoop hari ini.

Terdahulu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Nor Adam mendakwa Umno akan kalah sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Ini kerana katanya, orang Melayu tidak menggunakan akal fikir mereka dan enggan menyokong Umno yang bekerjasama dengan DAP.

Menurut Lokman yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Umno, majoriti orang Melayu enggan menyokong Umno dan kerajaan kerana mereka tidak mahu menyokong DAP.

Mohammad Tawfiq Yaakub berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah ‘kunci’ kepada setiap perbezaan pandangan, masalah dan dasar yang berlainan dalam kerajaan perpaduan hari ini. – Gambar dari media sosial, 20 Januari, 2025

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfiq berkata, Lokman tak boleh mengajar bagaimana orang Melayu hendak memilih, malah pemimpin itu dilihat terlalu beremosi.

“Biarkan pemimpin tertinggi parti uruskan kerjasama, hala tuju dan cara nak menarik sokongan orang Melayu.

“Lokman ini hanya pemimpin pertengahan, bukan pemimpin tertinggi dalam hierarki Umno walaupun Ahli Majlis Tertinggi tetapi bukan kapasiti beliau untuk bercakap Umno akan kalah atau sebaliknya jika PRU diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu beliau berkata, semua parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan perlu berkompromi dan bukan sahaja Umno, maka baru selari dengan semangat kerjasama politik.

“Di samping itu saya bersetuju dengan formula yang digunakan oleh kepimpinan Kerajaan Perpaduan sebelum ini dalam PRK iaitu penyandang kerusi akan bertanding dan formula ini boleh digunakan untuk PRU16 akan datang.

“Bagi saya jika formula ini digunakan semula dalam PRU16 akan datang, tidak mustahil 80% kerusi yang dimenangi oleh Bersatu di kawasan Umno akan dirampas semula oleh Umno iaitu dalam perkiraan 25 kerusi lagi.

“Manakala kompromi agihan kerusi pula boleh menambah bilangan kerusi sekurang kurangnya 30, juga kepada Umno-BN dalam PRU-16 akan datang,” katanya.

Tambah Mohammad Tawfiq, kenyataan bahawa parti dalam kerajaan Madani lain enggan berikan kerusi dalam konteks kompromi itu masih khabar angin.

“..dan saya yakin berdasarkan perkembangan politik semasa negara apa sahaja isu yang menyebabkan ketegangan hubungan dalam kalangan parti komponen boleh diselesaikan selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) masih ada.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah ‘kunci’ kepada setiap perbezaan pandangan, masalah dan dasar yang berlainan dalam kerajaan perpaduan hari ini.

“Bagi saya isu melibatkan kompromi pembahagian kerusi pilihan raya melibatkan komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan hanya perkara kecil sahaja dan boleh diselesai,” katanya. – 20 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related