Sesi ‘Train The Trainers’ Kempen Keselamatan Dalam Talian disasar menjelang Aidilfitri

Latihan kepada jurulatih bagi Kempen Keselamatan Dalam Talian disasarkan menjelang Aidilfitri ini

8:54 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi menyasarkan untuk melaksanakan beberapa siri latihan kepada jurulatih (Train the Trainers) bagi Kempen Keselamatan Dalam Talian, menjelang Aidilfitri ini, kata Menteri berkenaan Fahmi Fadzil.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mempercepat pelaksanaan kempen yang bertujuan menghentikan jenayah dalam talian termasuk sebaran berita palsu dan hasutan.

Beliau berkata hal ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 pada 3 Feb lepas, yang mahu kerajaan bersikap tegas dalam membendung budaya fitnah dan hasutan dalam talian serta media sosial yang boleh menyebabkan perpecahan.

“Sasaran kita tahun ini ialah 10,000 sekolah dan semua universiti awam harus kita santuni (melalui kempen). 

“Ia inisiatif untuk memastikan perkhidmatan Internet yang lebih selamat dapat kita laksanakan segera,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Komunikasi memaklumkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat mengenai keselamatan Internet.

Antara fokus utama kempen itu ialah melarang kanak-kanak di bawah 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial serta memastikan penggunaan Internet berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran bagi mengelakkan masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian, judi dalam talian, buli siber dan jenayah pedofilia, selain menggalakkan penggunaan Internet secara selamat dan beretika.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat mendapat perkhidmatan dan capaian Internet terbaik tanpa sesekali mengetepikan aspek keselamatan.

Beliau berkata pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah antara inisiatif kementerian dalam memastikan perkhidmatan Internet kekal selamat tatkala berdepan pelbagai ancaman hasil tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita tahu cabaran terutama bagi agensi, seperti Polis Diraja Malaysia dalam mengenal pasti dan menangani penghijrahan beramai-ramai penjenayah ke platform media sosial.

“Tidak ada maknanya jika kita bertungkus-lumus berusaha untuk pastikan kemajuan dan pembangunan yang bermanfaat dengan keadaan Internet laju dan meluas, tetapi ia tidak selamat,” katanya. – 12 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Set aside differences: follow T’ganu’s lead putting unity first on National Day

State governments led by the opposition should emulate the Terengganu government’s move to use the same National hari logo and theme as the federal government.

Fahmi defends MCMC enforcement actions against local website

Communications and Digital Minister Fahmi Fadzil has defended enforcement actions by the Malaysian Communications and Multimedia Commission against a local website.

‘Train smarter’ Pandelela’s creed as she gears up for Olympic qualification

With age comes wisdom and that is why national diving queen Datuk Pandelela Rinong knows she has to train smarter and not harder as she gears up to qualify for the Paris Olympics.

Related