SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk tidak campur tangan dalam sebarang keputusan dibuat badan kehakiman.
Perdana Menteri berkata, bagaimanapun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka yang dilantik, perlulah berwibawa dan bebas dalam membuat keputusan berlandaskan kepada undang-undang.
“Saya nak tanya kes mana yang kita campur, keputusan mana yang saya cakap dan terbincang dengan hakim?
“There is absolutely no interference in judicial decisions none whatsoever not even once do I speak to the judges or the CJ (chief justice) or any members of the judicial.
“Bagi saya ini penting, kita tak campur, ada beberapa proses lain kita bincang tapi saya nak sebut ini bukan bermakna Perdana Menteri itu semuanya betul ataupun ketua hakim semuanya betul.
“Mesti ada pengawasan mesti ada semak dan imbang, mesti ada badan-badan apakah dibayar cukai, apakah ada perspekstif untuk rasuah, kerana perkara ini pernah berlaku berlaku secara meluas dalam badan kehakiman.
“Jadi kalau tanya saya setiap perubahan itu harus dilakukan dengan cukup berhati-hati yang penting kita mulakan apa yang kita mulakan, jangan campur urusan badan kehakiman,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres DAP kali ke 18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan juga mahu memastikan mereka yang dilantik itu tidak terjerumus dengan kepentingan perniagaan mahu pun rasuah.
“Ini tanggungjawab kita dalam kerajaan sebab kita yang kena jawab di Parlimen dan kita kena jawab pada rakyat dan kita tidak boleh bicara dan kemudian kata kami bebas tidak akan dipersoalkan yang akan dipersoalkan itu Perdana Menteri dan Jemaah Menteri,” katanya.
Terdahulu Mesyuarat Agung Tahunan ke-79 Majlis Peguam semalam meluluskan dua resolusi yang dipinda mengenai pelantikan dan kebebasan badan kehakiman serta peranan Majlis Peguam dalam mempertahankan badan kehakiman.
Resolusi yang dicadangkan oleh peguam Alex De Silva dan disokong Razlan Hadri diluluskan sebulat suara dengan semua ahli bersetuju dan tiada berkecuali termasuk 42 ahli Majlis Peguam dalam mesyuarat itu.
Usul pertama menyatakan Majlis Peguam mesti mengutuk sekeras-kerasnya sebarang campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman oleh badan eksekutif, legislatif atau mana-mana individu atau entiti yang bertujuan mengatasi kerangka Perlembagaan dan perundangan dalam pelantikan kehakiman, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Resolusi itu juga menggesa kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menjalankan penyiasatan menyeluruh dan telus terhadap ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan (OLY) pada Januari lalu.
Siasatan itu bertujuan menentukan sama ada prosedur perlembagaan dan perundangan telah dipatuhi dalam pelantikan kehakiman baru-baru ini.
Usul kedua pula menyatakan Majlis Peguam harus diberikan mandat untuk mengambil tindakan segera dan terbuka tetapi termasuk tidak terhad kepada kenyataan awam, memorandum atau prosiding undang-undang, sebagai tindak balas terhadap sebarang maklumat yang boleh dipercayai mengenai campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman atau pengaruh tidak wajar dalam pelantikan kehakiman.
Resolusi itu juga menggesa agar komitmen teguh Majlis Peguam dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman tanpa rasa takut atau memihak, sebagai tanggungjawab asas yang termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang, ditegaskan semula. – 16 Mac, 2025