Ramli Ngah Talib bakal Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang?

Bekas Menteri Besar Perak itu dijangka menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Mei, selepas berkhidmat hanya satu penggal

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pulau Pinang bakal menyaksikan Yang di-Pertua Negeri yang baharu tahun ini.

Dalam keputusan yang dianggap mengejutkan daripada Istana Negara, Yang di-Pertua Negeri ketika ini, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak akan berundur pada 1 Mei – selepas berkhidmat hanya satu penggal, setelah dilantik pada 1 Mei 2021

Apa yang menjadi tanda tanya ialah penggantinya dikatakan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Dilahirkan di Pasir Salak, Ramli, 84, dilantik sebagai Menteri Besar dari 1982-1999, menjadikan beliau sebagai Menteri Besar yang paling lama berkhidmat.

Beliau pernah menjadi Speaker Dewan Rakyat dari 2004 hingga 2008.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah itu juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2000 hingga 2004.

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 1 Mei, 2021. – Gambar fail Bernama, 19 Mac, 2025

Sementara Fuzi, 76, yang dilahirkan di Pulau Pinang merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan diplomat kedua selepas Tun Awang Hussin (1981-1989) yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri.

Walaupun peranan Yang di-Pertua Negeri sebahagian besarnya bersifat adat istiadat, beliau mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri. Pilihan raya negeri Pulau Pinang dijangka hanya diadakan pada Oktober 2028.

Berita mengenai tempoh perkhidmatan singkat Fuzi tidak diterima baik oleh sesetengah pihak.

“Beliau adalah seorang Yang di-Pertua Negeri yang baik, yang membantu meningkatkan tahap tadbir urus dan sentiasa menekankan kepentingan untuk melindungi serta meraikan kepelbagaian kaum dan etnik di Pulau Pinang,’ kata seorang ahli politik senior.

“Kini, dengan pelantikan seorang ahli politik sebagai pengganti Tun Fuzi, timbul persoalan mengenai justifikasi di sebalik keputusan ini,’ tambahnya.

“’Sebagai penghormatan, Tun Fuzi sepatutnya diberikan peluang untuk berkhidmat satu penggal lagi,’ ujar seorang tokoh kanan yang lain.

“Ia mencetuskan tanda tanya mengenai perancangan Kerajaan Persekutuan untuk Pulau Pinang.’’

Bagaimanapun, sumber lain memberitahu perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana jawatan Yang di-Pertua Negeri selalunya diberikan sebagai penghargaan di atas perkhidmatan yang lama dan cemerlang, termasuk kepada ahli politik.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Ali Rustam, kini memegang jawatan Yang Di-Pertua Negeri Melaka, menggantikan bekas Menteri Besar Pahang dan Menteri Penerangan, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Wan Jaafar juga pernah memegang beberapa jawatan menteri sebelum dilantik sebagai Speaker Dewan Negara.

‘Ini adalah proses semula jadi. Yang di-Pertua Negeri datang dan pergi,’ katanya.

Pengumuman mengenai pelantikan ini dijangka dibuat selepas Hari Raya. – 19 Mac, 2025

Topics

 

Hangat

Pembangkang minta tangguh perbincangan peruntukan Ahli Parlimen: Fadillah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin serta wakil parti pembangkang, telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan kepada minggu hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

Ipoh’s creative scene makes it to Unesco Creative Cities Network listing 

Perak’s capital city, Ipoh, can now boast of being the first city in Malaysia to have its media, arts, and music scene recognised by the United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation.

Full trial for Sabah Law Society vs Putrajaya over state’s 40% grant

Federal Court dumps Attorney-General’s bid to stop the society’s judicial review against federal government over state’s revenue rights under the Malaysia Agreement 1963

Related