KUALA LUMPUR – Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) merekod pencapaian penting dalam strategi diversifikasinya dengan pelancaran kilang pembuatan untuk syarikat Fortune 500, Jabil Circuit Sdn. Bhd., yang terletak di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Perlis.
Kilang ini telah dirasmikan hari ini oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin, diiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail — menandakan kepentingan projek tersebut dalam merancakkan pembangunan ekonomi dan industri di Perlis.
Dalam titah baginda, Tuanku Syed Sirajuddin menyatakan pelaburan dalam kilang ini akan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, menggalakkan pembangunan kemahiran serta memacu kemajuan teknologi yang akan memberi manfaat kepada rakyat Perlis dan kawasan sekitarnya.
“Kilang ini bukan sekadar bukti komitmen Jabil terhadap kecemerlangan, malah menjadi lambang potensi pembangunan industri di CVIA. Apa yang kita saksikan hari ini bukan semata-mata sebuah bangunan, tetapi simbol pertumbuhan, peluang dan kemajuan.
“Ia adalah hasil daripada perancangan rapi, visi dan komitmen bersama dalam usaha membangunkan ekonomi yang mampan dan berkembang maju untuk negeri kita,’’ titah Tuanku Syed Sirajuddin.

Raja Perlis turut menambah sebagai pelabur asing pertama di CVIA, Jabil memberi contoh yang kukuh untuk diikuti pihak lain dan membuktikan Perlis merupakan lokasi sesuai untuk perniagaan berkembang maju.
“Kita sedang mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk industri berkembang, lengkap dengan infrastruktur, tenaga kerja dan lokasi strategik yang mampu menarik lebih banyak pelaburan.
“Beta yakin kejayaan operasi kilang ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Jabil, tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat. Peluang pekerjaan berkemahiran dan pembangunan bakat akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” titah baginda.
Raja Perlis turut menyatakan pembinaan fasiliti ini bermula pada tahun 2022 dan melahirkan rasa gembira melihat kerjasama erat semua pihak yang terlibat hingga siap pada tahun 2024, dan kini dirasmikan.

“Sejak awal lagi, kita melihat kerjasama kukuh antara kerajaan negeri Perlis, NCIA, MRCB dan Jabil. Kerajaan negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri serta kerajaan Persekutuan melalui NCIA sentiasa memantau rapat pelaksanaan projek ini, memastikan ia mematuhi piawaian dan menyumbang kepada pertumbuhan Perlis,” titah baginda.
Baginda turut memuji Jabil yang telah mengadakan beberapa siri temu duga terbuka sejak tahun lalu bagi proses pengambilan pertama dan turut mengutamakan penduduk tempatan dalam pengambilan pekerja secara langsung.
Sementara itu, MRCB telah melabur di atas tanah seluas 9.70 ekar yang akan dibangunkan sebagai fasiliti industri binaan khas, menyumbang besar kepada pertumbuhan sektor industri Perlis.
Pelancaran ini merupakan langkah besar dalam strategi MRCB untuk meluaskan fokus melepasi pembangunan hartanah tradisional. Syarikat itu kini giat meneroka peluang dalam bidang pembangunan industri, infrastruktur dan tenaga boleh baharu.
Kilang ini, yang dimiliki dan dibangunkan oleh MRCB, memperkukuh peranan kumpulan bukan sahaja sebagai pemaju malah sebagai pemilik jangka panjang aset industri. Dengan keluasan 101,059 kaki persegi, kilang ini akan memainkan peranan penting dalam pengembangan operasi Jabil di rantau Asia-Pasifik.
Kilang ini direka untuk menampung keperluan masa depan Jabil, termasuk keupayaan seperti pemasangan akhir, ujian dan pembungkusan (FATP), pemasangan mekanikal penuh, pemasangan papan litar bercetak serta konfigurasi khas.

Jabil telah menyewa fasiliti ini daripada MRCB untuk tempoh 10 tahun, dengan pilihan lanjutan selama lima tahun, mencerminkan visi jangka panjang dan komitmen kedua-dua pihak.
Projek ini menandakan kemasukan rasmi MRCB ke pasaran hartanah industri, mempamerkan usaha strategik untuk mempelbagaikan portfolionya. Berbekalkan pengalaman luas dalam pembangunan komersial khusus seperti Menara Shell di KL Sentral dan Menara Celcom di PJ Sentral, MRCB kini membawa kepakarannya ke sektor industri.
Penting untuk dinyatakan, inisiatif ini memperlihatkan kerjasama erat antara MRCB dan Kerajaan Negeri Perlis dalam menyokong matlamat CVIA untuk menjadi hab industri berteknologi tinggi yang mampan.
Dengan perkembangan CVIA sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serantau, projek ini selaras dengan matlamat kelestarian negara yang lebih luas, menjanjikan penyelesaian teknologi maju, penciptaan pekerjaan dan manfaat sosio-ekonomi jangka panjang kepada Perlis. – 7 April, 2025