KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka empat kertas siasatan terhadap dua individu termasuk seorang pempengaruh politik yang memuatnaik kandungan palsu dan jelik melampau berunsur 3R (perkauman, agama dan Institusi Diraja) di Facebook dan TikTok.
MCMC dalam kenyataannya memaklumkan pempengaruh dan aktivis politik itu menimbulkan sentimen perkauman di media sosial melibatkan lagu kebesaran negeri Perak, penguasaan ekonomi orang Melayu menerusi pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad sert pengambil alihan Menara Kuala Lumpur.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ia memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Sesi rakaman percakapan terhadap mereka dijalankan pada hari ini di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya bagi membantu siasatan lanjut,’’ katanya.
Susulan itu, kata MCMC, sebuah telefon bimbit dan satu kad sim milik seorang suspek telah disita bagi tujuan analisis forensik.
Manakala bagi seorang lagi suspek, MCMC berkata, telefon bimbitnya telah disita oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan atas kesalahan yang berlainan.
Justeru, MCMC menasihatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah serta tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini. – 7 April, 2025