KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terkenal kerana lantang mengkritik penggantinya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Perdana Menteri kelima negara itu Masjid Negara hari ini.
Mahathir, 99, menyifatkan Abdullah, 85, sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, terutama kerana kesanggupannya untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas keputusan mengejut dalam Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan prestasi buruk Barisan Nasional (BN).
Mahathir, yang memilih Abdullah untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri pada 2003, memuji sikap kenegarawanan itu dan menyatakan Abdullah telah menunjukkan contoh bagaimana pemimpin harus tahu bila masa yang sesuai untuk menyerahkan kepimpinan kepada pengganti.
“Prestasi beliau dalam pilihan raya umum 2008 tidak begitu baik, dan apabila ramai yang mendesaknya untuk berundur, beliau tidak teragak-agak. Beliau berundur dengan penuh tertib dan menyerahkan kepimpinan kepada (Datuk Seri) Najib Razak.
“Inilah caranya di Malaysia. Apabila kita bersara, kita berundur tanpa menimbulkan sebarang masalah, dan kita menyerahkan kepimpinan kepada pengganti kita.
“Jika kita dapat meneruskan amalan ini, Insya-Allah, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang aman. Inilah contoh Abdullah Badawi,” kata Mahathir kepada pemberita di Masjid Negara hari ini.
Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam tadi.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009.
Mahathir turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Abdullah dan berharap mereka agar tabah serta kuat menghadapi dugaan.
Abdullah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2 April 2009 selepas setahun menerima kritikan daripada Mahathir berikutan prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.
Ia merupakan kali pertama BN, yang telah memerintah negara sejak merdeka, kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Mahathir pernah menggelar Abdullah, yang mesra dikenali sebagai Pak Lah, sebagai Perdana Menteri ‘flip-flop’, dan sering mengkritiknya kerana gagal meneruskan beberapa projek, termasuk jambatan bengkok antara Singapura dan Johor.
Mahathir, yang akan mencecah usia 100 tahun pada bulan Julai, turut mendakwa Abdullah mengamalkan nepotisme dan tidak cekap.
Pada Mei 2008, dua bulan selepas pilihan raya umum tahun tersebut, Mahathir keluar daripada Umno kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan Abdullah dan menyatakan beliau hanya akan kembali menyertai parti itu selepas Abdullah meletak jawatan.
Beliau kembali menyertai Umno pada tahun berikutnya selepas Abdullah menyerahkan kepimpinan kepada Najib.
Dalam buku The Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia yang diterbitkan pada 2013, Abdullah mengulas hubungan tegangnya dengan Mahathir dan mengakui bahawa beliau tidak menyukai kritikan terbuka Mahathir terhadapnya.
Allahyarham berkata, beliau pernah menemui Mahathir secara peribadi untuk memberinya peluang meluahkan ketidakpuasan hati, namun Mahathir tetap terus menyerangnya secara terbuka.
Abdullah berkata, serangan bekas Perdana Menterinya itu telah menguatkan keyakinannya untuk tidak campur tangan dalam pentadbiran Najib selepas peralihan kuasa.
“Saya percaya bahawa apabila anda bersara, anda bersara sepenuhnya,” kata Abdullah dalam buku tersebut, yang merupakan koleksi esei pemerhati politik mengenai pentadbirannya. – 15 April 2025