Tunjukkan semangat patriotikmu, wahai mereka yang menghukum Sin Chew atas kesilapan bendera – Rocky Bru

Wartawan veteran itu berkata pengamal media tidak lari daripada melakukan kesilapan dan menggesa agar kesilapan Sin Chew berkaitan lambang bulan sabit dimaafkan

6:00 PM MYT

 

EMPAT dekad dalam bidang kewartawanan, saya telah melakukan lebih banyak kesilapan tipografi, kesilapan grafik (termasuk ya, bendera kita, sekali!), kesilapan atribusi, kapsyen yang salah dan juga kesalahan fakta, lebih daripada yang saya mahu akui.

Sebagai wartawan, saya pernah melakukannya, dan sebagai editor, saya pernah terlepas pandang dan membiarkan ia tersiar.

Setiap kali kesilapan dalam akhbar dikesan, sama ada oleh pasukan editorial sendiri atau pembaca yang budiman, kami akan memohon maaf secepat mungkin.

Ada akhbar yang mempunyai ruangan khas harian untuk memohon maaf atas kesilapan dalam edisi sebelumnya. Sebuah akhbar berbahasa Melayu masih mengekalkan ruangan permohonan maaf dikenali sebagai ‘ralat’.

Kesilapan pertama saya dalam laporan adalah melibatkan Allahyarham Abdul Aziz Rahman, Pengarah Urusan Malaysia Airlines ketika itu. Beliau menyatakan pada sidang media di lapangan terbang Subang bahawa syarikat penerbangan negara akan membelanjakan “…empat hingga lima juta ringgit” untuk iklan.

Namun saya melaporkan, dan disiarkan sebagai berita utama dalam The Business Times keesokannya bahawa Malaysia Airlines akan membelanjakan RM45 juta untuk pengiklanan, satu angka besar untuk bajet iklan pada pertengahan 1980-an.

Editor yang menyemak permohonan maaf saya untuk edisi hari berikutnya menyindir dengan lembut: “RM45 juta tidak teruk sangat. Kamu boleh saja melaporkannya sebagai RM425 juta!”

Tan Sri tentu saja tidak gembira, tetapi beliau memaafkan dan hubungan kami menjadi lebih rapat selepas insiden itu walaupun selepas beliau dipaksa meninggalkan syarikat demi penswastaan yang membawa kepada kejatuhannya.

Kemudian dalam kerjaya saya, setelah beralih ke dunia blog dan portal berita, saya sering beritahu pelajar kewartawanan bahawa media, terutamanya akhbar, adalah perniagaan yang penuh dengan kesilapan. Dalam keghairahan untuk melaporkan kebenaran dan mendokumentasikan sejarah, kesilapan itu pasti berlaku.

Hal ini juga berlaku dalam media baharu. Walaupun tidak terikat dengan tekanan tarikh akhir, tekanan pemasaran, campur tangan politik dan meskipun diberi kelebihan untuk mengemas kini berita pada bila-bila masa, wartawan digital tetap membuat kesilapan.

Sin Chew, akhbar berbahasa Cina dengan edaran cetakan lebih 200,000 naskhah sehari, melakukan kesilapan besar apabila menerbitkan gambar Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit di muka depan edisi cetakan 15 April. Bendera Malaysia itu diletakkan di sebelah bendera China untuk mengiringi laporan mengenai lawatan bersejarah Presiden China, Xi Jinping.

Bulan sabit pada Jalur Gemilang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara. Sin Chew dikecam daripada Raja hingga rakyat marhaen. Yang di-Pertuan Agong menyatakan kesilapan itu sebagai “tidak boleh diterima” rakyat pula mahukan ‘hukuman yang setimpal’.

Akhbar tersebut telah memohon maaf, menggantung dua kakitangan dan berjanji akan lebih berwaspada.

“Ia adalah kesilapan tidak disengajakan semasa proses rekaan. Kami telah membetulkan versi digital dan notis yang sama akan diterbitkan dalam versi cetakan. Kami memohon maaf kepada pembaca, masyarakat Malaysia dan orang ramai. Kami kesali kesilapan ini,” kata pihak pengurusan akhbar itu dalam satu kenyataan dalam tiga bahasa: bahasa kebangsaan, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

Malangnya, ada segelintir rakyat Malaysia yang tidak menerima permohonan maaf tersebut. Mereka menuduh wartawan dan editor Sin Chew tidak patriotik. Mereka mahu Kementerian Dalam Negeri menggantung lesen penerbitan Sin Chew. Mereka menuntut agar mereka yang bertanggungjawab didakwa atas kesalahan hasutan dan dipenjara.

Sejak bila kesilapan editorial menjadi satu jenayah?

Saya rasa sedih kerana ada antara individu yang mendesak rakan-rakan wartawan saya dipenjara itu adalah mereka yang saya kenali secara profesional. Ada juga yang dikenali oleh kami di bilik berita sebagai profesional yang diupah oleh pelanggan untuk memohon sokongan baik wartawan dan media.

Melakukan kesilapan adalah manusiawi, memaafkan adalah sifat ketuhanan. Yang di-Pertuan Agong menyatakan kesilapan Sin Chew sebagai “tidak boleh diterima”. Saya setuju. Tetapi Baginda tidak pula menyatakan permohonan maaf itu tidak diterima.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mengulas secara bijaksana: “Bukan perkara kecil tapi jangan keterlaluan,” kata beliau tentang isu bendera. [Namun ada media yang hanya menyiarkan separuh kenyataan PMX seperti: “Anwar: Isu Jalur Gemilang tidak lengkap bukan hal remeh.”]

Begitu juga Tokoh Wartawan Negara, A. Kadir Jasin, yang menyarankan agar isu Sin Chew diserahkan kepada Majlis Media Malaysia, bukannya kepada pihak polis. (Rujuk artikel beliau: Isu Jalur Gemilang lebih sesuai diadili Majlis Media bukan polis).

Polis berada di pejabat Sin Chew hingga lewat malam Jumaat lalu. “Ia amat melelahkan. Menjatuhkan semangat,” kata seorang editor akhbar itu kepada saya.

“Ia memang kesilapan. Bukan disengajakan. Tetapi kesilapan tetap kesilapan. Kita mesti belajar pengajaran pahit daripada isu ini,” tambahnya.

Namun, Sin Chew bukan satu-satunya pihak yang perlu belajar. Daripada melempar batu kepada orang lain, saya cadangkan kita semua tunjukkan rasa hormat kepada Jalur Gemilang dengan mengibarkannya di tempat kerja, di rumah, di restoran dan pub, di kenderaan. Kibar setiap masa, bukan sekadar ketika bulan Merdeka dan Hari Malaysia.

Perasan tak betapa sedikitnya daripada kita yang mengibarkan bendera tahun lepas?

Letak Jalur Gemilang di laman media sosial kita. Sin Chew wajar memimpin dengan meletakkan bendera itu di sebelah logo akhbarnya, versi cetakan dan digital.

Kepada wartawan muda dan editor, jangan terlalu takut untuk melakukan kesilapan. Wartawan juga manusia. Lakukan yang terbaik untuk menegakkan kewartawanan yang baik. Buat penyelidikan. Semak dan semak semula fakta. Elak niat jahat. Berikan hak kepada subjek untuk menjawab. Maklumkan kepada editor apa yang anda sedang usahakan. Lindungi sumber anda. Jaga jarak dengan ahli politik. Jangan minta dan jangan terima rasuah.

Mohon maaf secara terbuka atas kesilapan editorial.

Dan kenali siapa rakanmu. Maafkan mereka yang mahu kamu dipenjara atas kesilapan yang tidak ada wartawan pun mahu dikaitkan dengannya. Tetapi pada masa yang sama berhati-hatilah terhadap mereka. – 22 April 2025

Datuk Ahirudin Attan, lebih dikenali sebagai Rocky Bru, ialah pengarah eksekutif Big Boom Media yang menerbitkan Scoop. Beliau antara pelopor blog di Malaysia.

Topics

 

Popular

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Leaked gas vapours easily ignited, leading to massive explosion in Putra Heights: fire expert

KUALA LUMPUR – The gas pipeline fire in Putra Heights, Subang Jaya, today is believed to have been caused by a “boiling liquid expanding vapour explosion” (BLEVE), according to a retired senior...

I’m not a man of politics, just born into a high-profile family: Mirzan Mahathir 

The 65-year-old businessman sees each accusation not as a threat, but as a challenge – an opportunity to fortify his character and forge his legacy. 

Related