Tak perlu tangguh rasionalisasi subsidi RON95 meskipun tarif AS beri kesan ekonomi global : ahli ekonomi

Ahli ekonomi berkata pelaksanaan subsidi bersasar perlu diteruskan kerana kerajaan perlu berbelanja untuk sektor termasuk pendidikan, kesihatan dan infrastruktur

9:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun persekitaran ekonomi global semakin mencabar termasuk isu tarif Amerika Syarikat (AS) namun rancangan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak perlu ditangguhkan agar reformasi ekonomi dapat diteruskan.

Bercakap kepada Scoop, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun dasar tarif AS akan memberikan kesan kepada ekonomi global dan negara namun ia bukan sebab untuk membantutkan usaha memperbaiki kedudukan kewangan negara.

Justeru, kata beliau, pelaksanaan subsidi bersasar perlu diteruskan kerana kerajaan perlu berbelanja untuk sektor termasuk pendidikan, kesihatan dan infrastruktur .

“Jika pelaksanaannya ditangguhkan boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan dalam melaksanakan reformasi ekonomi.

“Harga minyak mentah Brent berada di paras agak rendah (bawah AS$70 setong) dan ini membuka peluang bagi kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api kerana perbezaan di antara harga subsidi dan harga pasaran adalah kecil,” katanya kepada Scoop, hari ini.

Tarif timbal balas dikenakan Amerika Syarikat baru-baru ini telah mencetuskan polemik dalam kalangan ahli ekonomi mengenai keperluan kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini. – Gambar Scoop, 25 April, 2025

Tarif timbal balas dikenakan AS baru-baru ini mencetuskan polemik dalam kalangan ahli ekonomi mengenai keperluan kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun kurang 24 jam selepas pengumuman tarif berkenaan, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan untuk menangguhkan tarif perdagangan baharu itu ke atas puluhan negara bagi tempoh 90 hari selepas menyaksikan pasaran saham dunia merudum.

Namun ahli ekonomi seperti Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie menggesa kerajaan menangguhkan beberapa perubahan dasar domestik termasuk rasionalisasi subsidi RON95 berikutan ketidaktentuan yang dicetuskan impak tarif AS, yang berpotensi menjejaskan prestasi eksport negara.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam memberitahu langkah untuk tidak mengenakan tarif timbal balas ke atas AS dan mengadakan rundingan dengan negara itu adalah tindakan yang tepat.

“Oleh itu, kita perlu jelas mengenai permasalahan yang dihadapi dan penyelesaian yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, strategi komunikasi perlu dimantapkan agar rakyat faham dan mengerti mengenai tujuan rasionalisasi subsidi bahan api dilaksanakan.

“Pelarasan subsidi bahan api RON95 itu juga mampu mengatasi masalah ketirisan khususnya melibatkan aktiviti penyeludupan dan penggunaan bahan api bersubsidi oleh warga asing,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini, menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua peringkat harga.

Beliau berkata, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara itu sedang diperhalusi dan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

Dalam Belanjawan 2025 lalu, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85% rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, pelaksanaan subsidi tersebut juga adalah bagi mengelak ketirisan di mana warga asing dan 15% pengguna mahakaya menikmati 40% subsidi petrol RON95 yang bernilai RM8 bilion.

Anwar juga dijangka menyampaikan kenyataan pada Sidang Khas Parlimen yang berlangsung 5 Mei ini, berhubung isu tarif timbal balik AS yang dikenakan ke atas pelbagai negara, termasuk Malaysia. – 25 April, 2025

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related