KUALA LUMPUR – Continental akan menghentikan operasi pembuatan tayar di kilangnya di Alor Setar pada penghujung 2025, selepas 46 tahun beroperasi.
Kilang berkenaan mempunyai 950 pekerja.
Dalam kenyataannya hari ini, syarikat berkenaan memaklumkan, kilang tersebut menghasilkan tayar kereta penumpang, trak ringan bagi pasaran Asia-Pasifik serta motosikal.
Kilang tayar itu mula beroperasi di Alor Setar pada 20 Disember 1979 dan sejak Mei 2012, ia menjadi anak syarikat milik penuh Continental.
Kilang berkenaan merangkumi keluasan kira-kira 133,000 meter persegi.
Continental berkata, keputusan untuk menutup kilang tayar itu adalah hasil semakan perniagaan secara terperinci bertujuan untuk melindungi daya saing, serta prestasi perniagaan syarikat di rantau Asia Pasifik (APAC).
“Usaha ini juga dilaksanakan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pelanggan,’’ katanya.
Menurutnya, syarikat itu berhasrat untuk mengoptimumkan portfolio produk tempatan dan memantau pengeluarannya. – 28 April, 2025