GURUN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Mohammed Firdaus Johari menegaskan memberi khidmat terbaik kepada rakyat adalah lebih penting berbanding hanya bersandarkan populariti nama besar.
Beliau yang juga anak kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Johari Abdul, berkata walaupun ada pihak berterusan mengecam namun pemilihannya mewakili kerusi yang pernah disandang bapanya itu telah melalui proses pemilihan dalam parti.
“Benda ini biasa dalam politik, sampai dilabel parti anak beranak, kronisme dan sebagainya, kalau kita masuk politik kebanyakan parti politik ada latar belakang sebegitu.
“Saya ambil contoh PAS di mana Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melahirkan pimpinan yang hebat seperti Nik Mohamad Abduh, begitu juga dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan dalam parti lain juga ada kesinambungan legasi.
“Malah dalam PKR, pencalonan juga dibuka kepada orang ramai, jadi sesiapa pun boleh mohon untuk jadi calon yang mana akhirnya akan ditentukan oleh kebijaksanaan presiden parti untuk memilih siapakah yang beliau yakin boleh memberi kemenangan kepada kerusi dipertandingkan,” katanya kepada Scoop hari ini.
Selain Firdaus, abangnya iaitu Mohammed Taufiq juga adalah Ahli Parlimen Sungai Petani.
Pengerusi PH Jerai itu berkata, membawa nama besar keluarga memberi kelebihan dari segi pengalaman dan ilmu yang diturunkan bapanya.
“Itu yang paling penting dan bukan atas dasar nama sebab walaupun nama itu besar tapi kalau kita sebagai penyambung tidak melaksanakan khidmat di bawah dengan baik pun tiada guna juga.
“Kalau kita melakukan politik khidmat yang baik, rakyat akan mengenali kita atas dasar khidmat yang dilakukan berbanding kita hanya gunakan nama yang besar,” katanya.
Firdaus berkata, bapanya yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dan Ahli Parlimen Sungai Petani pada 2018 banyak memberikan nasihat, sokongan moral dan tips tentang menjaga kesihatan selain cara menyantuni rakyat dengan baik.
“Namun beliau ingatkan yang paling penting niat kita untuk memasuki politik iaitu untuk membantu rakyat, kalau kita ikhlas perbetul niat, segala-galanya tidak akan menjadi satu beban untuk kita berjuang di bawah,” katanya.
Firdaus akan berhadapan saingan satu lawan satu dengan bekas pemain bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di DUN Gurun.
Ditanya mengenai pesaingnya di DUN Gurun, beliau memaklumkan sempat bersembang dengan Baddrol ketika penamaan calon dan kami meraikan demokrasi secara baik
“Sewaktu dalam dewan, saya sempat bersembang dengan Baddrol, saya kata, Bad, kita ini dua-dua anak muda, kita cuba tonjolkan contoh politik matang sebab anak muda di luar sana dah cemuih (jemu) dengan politik, tidak berminat dengan politik atas dasar generasi terdahulu. Mungkin ada kata-kata yang dikeluarkan itu tidak baik.
Ditanya mengenai peluangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, Firdaus cukup yakin pengundi cukup matang dan teruja untuk memilih wakil rakyat terbaik yang boleh berkhidmat kepada mereka. – 4 Ogos, 2023