KUALA LUMPUR – Apa tugas Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), yang dikatakan tidak berfungsi hingga ada gesaan daripada ahli politik supaya ketua pengarahnya Datuk Mohammad Agus Yusoff berundur?
Jabatan berkenaan dikatakan gagal memberikan manfaat kepada rakyat hinggakan mereka tidak mengetahui insentif yang ditawarkan.
Berdasarkan kepada portal www.jkom.gov.my, jabatan itu berfungsi untuk melaksanakan program dan aktiviti pembangunan komuniti peringkat akar umbi.
Ia juga bukan lagi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), sebaliknya telah dipindah ke Jabatan Perdana Menteri pada 19 Mei 2021 bagi memastikan semua perkara berkaitan dengan komunikasi strategik kerajaan diletakkan secara berpusat.
“J-KOM ditubuhkan pada 1 Februari 2021 di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Pada 19 Mei 2021, jabatan ini telah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk memastikan semua entiti berkaitan komunikasi strategik kerajaan diletakkan secara berpusat agar pelaksanaan pelan komunikasi strategik serta pemantauannya dapat diselaraskan dengan lebih cekap dan berkesan,” demikian yang tercatat dalam laman web JKOM.
J-KOM hangat diperkatakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim semalam menyarankan kerajaan menukar Ketua Pengarah J-KOM baharu, berikutan kegagalan agensi itu dalam penyampaian maklumat, terutama berkaitan inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu menerusi hantaran di Twitter menegaskan, banyak manfaat dan insentif diperkenalkan kerajaan persekutuan dalam membantu rakyat namun tidak diketahui sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menikmati manfaat yang disediakan.

Sementara Agus ketika dihubungi Scoop enggan mengulas saranan supaya beliau berundur daripada memegang jawatan tersebut.
Mantan pensyarah politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, beliau tidak berhak memberi sebarang ulasan berkenaan isu tersebut.
“Saya tak mahu jawab apa-apa sebab saya diminta untuk diam dahulu, saya tidak mahu beri sebarang komen” katanya ringkas.
Malah pada Julai lalu, J-KOM mengundang kritikan ramai apabila menyiarkan infografik mengenai harga barang yang disifatkan sebagai tidak realistik.
Ini kerana ia tidak termasuk dalam keperluan asas pengguna. Infografik yang dikongsi di platform media sosial J-KOM itu kemudiannya dipadam selepas hampir 48 jam dikongsi setelah mendapat kecaman hebat netizen. – 14 Ogos, 2023