PN pertaruh calon anak tempatan tanding di Pulai, Simpang Jeram

Bersatu, Gerakan dan PAS sudah selesai menyenaraikan tiga nama untuk dicadangkan kepada kepimpinan tertinggi PN, sebelum ia dimuktamadkan minggu ini

8:42 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Johor dijangka mempertaruhkan anak tempatan sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat persediaan PRK yang diadakan gabungan itu, baru-baru ini. 

Menurutnya, Bersatu, Gerakan dan PAS sudah selesai menyenaraikan tiga nama bagi setiap calon untuk dicadangkan kepada kepimpinan tertinggi PN, sebelum ia dimuktamadkan pada minggu ini.

“Calon bukan sahaja dalam kalangan anak muda, atau mereka yang berumur antara 30 hingga 55 tahun tetapi perlu aktif turun padang bersama rakyat. Ini antara yang kami persetujui di peringkat kepimpinan PN Johor. 

“Namun, kita akan akur dengan segala keputusan untuk kepimpinan pusat menentukan siapakah calon terbaik untuk kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya kepada Scoop. 

Terdahulu, Suruhannya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September ini dengan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon manakala 5 September bagi pengundian awal.

Kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram itu susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 23 Julai lalu.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Salahuddin menang dengan majoriti besar, 33,174 undi di kerusi Parlimen Pulai, menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang memperoleh 31,726 undi, manakala calon PN, Loh Kah Yong pula meraih 20,677 undi.

Timbalan Presiden Amanah itu juga memenangi kerusi DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 apabila memperoleh 8,749 undi. 

Beliau mengalahkan Zarul Salleh dari PN yang mendapat 6,350 undi, calon BN, Datuk Lokman Md Don (6,062 undi) manakala Mahaizal Mahmor yang mewakili Pejuang mendapat 208 undi. – 15 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related