Nahas Elmina: ‘Bau semerbak iringi jasadmu wahai Hafiz, betapa hebatnya hang’ – sepupu

Nurul Naziah turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak, termasuk orang awam kerana mendoakan urusan allahyarham Muhamad Hafiz dipermudahkan

3:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Bau semerbak wangi mengiringi jasadmu, subhanallah…betapa hebatnya hang (kamu) Muhamad Hafiz Muhamad Saleh,” tulis sepupu arwah dikenali Nurul Naziah di Facebook hari ini.

Nurul Naziah melahirkan kesyukuran apabila jenazah Muhamad Hafiz sudah dapat dituntut awal pagi tadi dan kenderaan membawa allahyarham kini sedang dalam perjalanan ke kampung halamannya di Sungai Petani untuk disembahyangkan, sebelum dikebumikan.

Malah, Nurul Naziah turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak, termasuk orang awam kerana mendoakan urusan allahyarham Muhamad Hafiz dipermudahkan.

“Allah permudahkan urusan untuk membawa pulang jenazah ke kampung halamannya dan terus ke Masjid Al-Huda, Kampung Jerung Sungai Petani. Insya-Allah dijangka ketibaan jenazah selepas Zohor.

“Semoga Allah membalas segala doa yang baik untuk kalian (juga). Perkara baik semuanya dari Allah. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah Muhamad Hafiz,” katanya.

Dalam insiden pada jam 2.40 petang kelmarin, 10 individu kesemuanya lelaki, disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di Lebuhraya Gutrie berhampiran perumahan Bandar Elmina, Shah Alam.

Lapan individu yang maut terdiri daripada penumpang dan kru pesawat, manakala dua mangsa adalah pemandu kereta dan penunggang motosikal.

Muhamad Hafiz dipercayai dalam perjalanan mengambil sup ‘gearbox’ untuk dihantar kepada pelanggan di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Ketua ‘rider’ Zon Subang 2, Mohad Fairuz Imam Mahdi berkata, Muhamad Hafiz sebelum nahas itu, baru selesai menghantar makanan kepada seorang pelanggan di Jalan Elektron, U16 Shah Alam.

Bagaimanapun, katanya, sistem penghantaran sup itu terhenti sendiri apabila ia gagal mengesan pengemaskinian kedudukan Global Positioning System (GPS) Muhamad Hafiz.

Turut terkorban dalam tragedi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Pesawat berkenaan yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang, namun terhempas hanya beberapa minit sebelum mendarat. – 19 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related