KLANG – “Jangan risau, saya dah jadi Menteri Besar,” kata Datuk Seri Amirudin Shari yang hari ini mengangkat sumpah menyambung penggal baharu bagi mentadbir negeri Selangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua itu dalam nada berseloroh menjawab spekulasi disebar pihak tertentu mengenai pelantikan Menteri Besar Selangor selepas tiga nama termasuk namanya dihantar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Yang risau ni (siapa jadi MB Selangor) orang tak terlibat, tapi dia risau lebih. Jangan risau, saya dah jadi Menteri Besar.
“Alhamdulillah saya jelas dengan apa yang berlaku, dan kita perlu melaksanakan tugas (diamanahkan),” katanya kepada media selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Lantikan di Balai Rong Seri Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai desas-desus dalam pelantikan Menteri Besar, Amiruddin berkata, ruang dan masa secukupnya perlu diberikan kepada Sultan Selangor selepas pulang dari London.
“Saya jelaskan beberapa perkara dan proses, mungkin ada orang yang timbulkan spekulasi dan sebagainya. Tiga hari selepas PRN, Tuanku Sultan pulang dari London, selepas itu barulah surat dari Perdana Menteri (Pengerusi PH) disampaikan kepada Tuanku.
“Saya rasa pada hari Rabu, meletakkan tiga nama dan nama saya pun ada. Pada Khamis baginda Sultan sahkan saya akan diberi tugas untuk menteri besar, diikuti dengan perbincangan senarai exco yang akan angkat sumpah hari ini.
“Kenapa berlaku? Ya, kerana kita perlu beri ruang dan masa secukupnya kepada Tuanku yang baru tiba dan masa untuk ‘stabilize’ selepas pulang dan (menjalani) proses pembedahan, Alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya.
Sebelum ini selain Amirudin, dua lagi nama turut disebut sebagai menteri besar baharu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Dr Fahmi Ngah dan Adun Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah.
Amirudin memegang jawatan Menteri Besar sejak 2018 berjaya mempertahankan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor baru-baru ini.
Beliau adalah Menteri Besar Selangor yang termuda dalam sejarah kerajaan negeri apabila dilantik ke jawatan itu pada usia 38 tahun pada 2018.
Beliau mempertahankan kerusi Sungai Tua berkenaan sejak 2008 dan pernah dilantik sebagai exco Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri.
Pada PRN lalu, Amirudin menang dengan jumlah undi 19,678 meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, Suman Gopal. – 21 Ogos, 2023