Umat Islam yang waras dan akil baligh boleh Islamkan saudara baharu, tanpa sebarang paksaan

Firdaus Wong menempelak pihak yang cuba mempolemikkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengislamkan saudara baharu di sebuah masjid di Klang Jumaat lalu

11:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja individu beragama Islam, waras dan akil baligh, boleh mengislamkan mana-mana individu yang berminat dan berniat memeluk Islam tanpa sebarang paksaan.

Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong, menjelaskan mengikut hukum syarak Islam, itu adalah yang ditetapkan dan perlu dipatuhi.

“Sesiapa saja boleh Islamkan mengikut syarak ditetapkan, tidak ada masalah. Langkah seterusnya ialah bimbing mereka (individu ingin peluk Islam) untuk membaca dua kalimah syahadah.

“Perlu dibaca dalam bahasa Arab tanpa perlu mementingkan bacaan tajwidnya, yang penting dia baca dan kita bimbing perlahan-lahan. Selepas itu kita beritahu tentang terjemahan dan maksud kalimah syahadah.

“Selepas itu dia sah memeluk Islam di sisi Allah SWT,” katanya ketika dihubungi Scoop hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, pendakwah bebas itu berkata, perkara seterusnya adalah berkait soal perundangan iaitu keperluan untuk saudara baharu itu mendaftarkan pengislamannya.

“Individu yang mengislamkan atau mana-mana individu yang tahu tentang pengislaman itu, atau individu itu sendiri boleh pergi ke mana-mana majlis agama, jabatan agama atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendaftarkan pengislamannya.

“Jadi perkara ini tidaklah sulit, malah kami di MRM juga boleh membantu sesiapa yang mahu memeluk Islam kerana kami adalah pusat pendaftaran pengislaman yang bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais),” katanya yang memeluk Islam pada 2005 ketika berusia 22 tahun.

Baru-baru ini tular Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang lelaki hingga mencetuskan perdebatan di media sosial.

Rata-rata warganet sebelum ini mempersoalkan sama ada tugas pengislaman itu merupakan tugas seorang Perdana Menteri selepas Anwar mengajar seorang lelaki mengucap dua kalimah shahadah di Masjid Ar-Rahimiah, Klang.

Bagaimanapun ramai yang mempertahankan serta berpihak kepada Anwar dan menyatakan walaupun beliau seorang Perdana Menteri tetapi tanggungjawab seorang Islam tidak boleh diketepikan.

Dalam pada itu Firdaus menempelak pihak yang cuba mempolemikkan isu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengislamkan saudara baharu di sebuah masjid di Klang Jumaat lalu.

“Walaupun Anwar adalah Perdana Menteri, tetapi itu juga tidak menafikan beliau juga adalah seorang muslim yang ada tanggungjawab tertentu. Apakah mereka yang menentang pengislaman oleh PM ini dan melihat tindakan PM itu melukakan orang lain?

“Adakah mereka juga akan terasa jika Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat atau melakukan ibadah korban, menyembelih lembu yang juga mungkin sensitif untuk sesetengah penganut agama lain? Tidak, kan?

“Jadi kenapa perlu ada exception (pengecualian), tatkala ada kalangan mereka yang mengatakan semua agama sama, kenapa pula rasa nak ‘meroyan’ apabila ada orang nak masuk Islam, hingga semua perkara hendak dijadikan modal politik,” katanya. – 23 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related