KKM serbu 2 premis jual air zam-zam

Orang ramai dinasihat tidak membeli air dilabel sebagai air zam zam di pasaran fizikal dan dalam talian kerana dikhuatiri tiruan

8:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyerbu dua premis perniagaan di Petaling Jaya dan Cheras, pada Rabu serta Jumaat lalu, susulan penjualan dan pengedaran air zam zam tidak berlesen yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, dalam serbuan di sebuah pejabat pengurusan di Petaling Jaya pada Rabu itu, sebanyak 10 botol (lima liter) air zam zam bernilai RM1,600 dirampas.

Katanya, satu notis kesalahan di bawah Peraturan 360A (2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dikeluarkan.

“Menerusi operasi dijalankan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Pejabat Kesihatan Cheras pada Jumaat pula, seorang individu didapati menjual produk air zam zam secara tidak sah di premis perniagaan persendirian.

“Sebanyak 83 botol (41.5 liter) bernilai RM2,075 disita. Satu notis kompaun dikeluarkan kepada individu terlibat dengan nilai RM3,000 atas kesalahan di bawah Peraturan 360A,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil penguatkuasaan dijalankan sejak 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zam zam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

Menurutnya, air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

“Dalam kes ini, didapati kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata, selain itu, sejumlah 32 iklan berkaitan penjualan air zam zam dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang.

“Hasil pemantauan di media sosial sejak 2021 hingga kini, sebanyak 63 iklan air zam zam dipadam daripada media sosial,” katanya.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi tidak berlesen, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Ujarnya, KKM ingin menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan membeli air dilabel sebagai air zam zam di pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan.

“KKM juga memberi amaran dan melarang penjualan air zam zam di semua platform, sama ada secara fizikal mahupun secara atas talian.

“Mana-mana peniaga atau pengedar yang masih mempunyai stok air zam zam tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan, seterusnya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan,” katanya. – 28 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

A man with fire in his belly: Jagdeep remembers his father Karpal’s strength in the face of disability

Despite paralysis from a tragic accident, the DAP stalwart remained a fearless fighter—his legacy now upheld by his son

Related